KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan Dr Ali Noor Hassan meninggal dunia disebabkan pendarahan dalam otak.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata Allahyarham yang bertugas di sebuah klinik kesihatan di Cheras mengalami penyakit ‘aneurysm’ dalam otak dan disahkan meninggal dunia pada 18 Januari lalu.
“Beliau dikesan mempunyai penyakit lain dan tiada kaitan dengan kelesuan bekerja. Ujian Covid-19 adalah negatif,” katanya seperti dilapor Harian Metro.
Dalam perkembangan sama, Dr Noor Hisham melalui Facebook rasminya mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham Dr Ali atas pemergian arwah.
“Allahyarham Dr Ali pulang ke pangkuan Ilahi lewat malam 18 Januari 2021.
“Beliau adalah seorang pegawai perubatan KKM yang amat disenangi rakan sekerja, pesakit dan masyarakat setempat,” katanya.
Menurutnya, arwah dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur sejak awal Disember lalu disebabkan penyakit lain dan menjalani beberapa sesi rawatan.
Sementara itu, seorang wanita dipercayai isteri kepada Dr Ali menerusi Facebook miliknya menegaskan kematian suaminya disebabkan ‘Acute Respiratory Distress’ dan bukan disebabkan Covid-19 atau kepenatan bertugas melawan pandemik itu.
Wanita menggunakan akaun nama Asilah Alqarny turut mengakui mendapat banyak permintaan menjadi rakan di Facebook susulan berita kematian suaminya.
“Tiba-tiba banyak dapat request friend (permintaan rakan) sebab sudah viral (tular), ramainya yang mendoakan arwah suami Dr Ali Noor Hassan. Beribu-ribu orang share (kongsi) dan doakan dia. Alhamdulillah.
“Beliau banyak bersedekah, setiap hari walau sedikit. Damailah di sana wahai suamiku,” katanya.
Wanita itu berkata, suaminya banyak terbabit dengan aktiviti jemaah tabligh dan memeriksa pesakit percuma ketika Ijtimak Tabligh. -Malaysiapost

