Prasarana arah kakitangan kontak rapat Tajuddin ‘swab test’ serta merta

0
1

KAKITANGAN Kumpulan Prasarana yang mempunyai kontak rapat dengan Pengerusinya, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman diarahkan melakukan ujian calitan atau ‘swab test’ Covid-19 serta-merta.

Syarikat itu dalam kenyataan berkata, langkah itu diambil susulan Tajuddin yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak telah disahkan positif Covid-19 hari ini.

“Para pegawai dan staf di bawah Kategori B yang mempunyai kontak rapat dengan Pengerusi Kumpulan Prasarana, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman telah diarahkan mengambil ujian calitan atau ‘swab test’ untuk pemeriksaan Covid-19 hari ini ekoran pengesahan beliau positif.

“Mereka yang tergolong di bawah Kategori C pula diletakkan dalam kuarantin di rumah dengan serta merta selama sepuluh hari sehingga 29 Januari atau sehingga Kategori B didapati negatif,” kata kenyataan itu.

Difahamkan, Tajuddin telah hadir ke ibu pejabat Prasarana sebanyak dua kali pada minggu lepas.

“Datuk Seri Tajuddin memasuki pejabat pada pagi Isnin, 18 Januari untuk satu mesyuarat dengan beberapa pegawai kanan.

“Beliau juga masuk untuk satu mesyuarat pada pagi Selasa, 19 Januari dan terus ke hospital untuk ujian sejurus mengetahui Datuk Seri Nazri Aziz positif Covid-19.”

Kenyataan itu turut mengesahkan bahawa seluruh ibu pejabat korporat Kumpulan Prasarana, yang terletak di Menara UOA, Bangsar sudah menjalani pembersihan komprehensif ‘deep decontamination’ dan sanitasi untuk memastikan ia bebas daripada virus berkenaan.

“Ketiga-tiga tingkat pejabat Kumpulan Prasarana di Tower B, Menara UOA sudah menjalani proses sanitasi dan ‘deep decontamination’ pada 18 Januari bermula jam 3 petang.

“Satu lagi proses sanitasi dan ‘deep decontamination’ tambahan akan dijalankan hari ini berikutan perkembangan terbaru,” katanya.

Dalam pada itu, Prasarana memaklumkan operasi ibu pejabat dibuka seperti biasa mengikut prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang mana hanya 30 peratus daripada Bahagian Pengurusan dibenarkan masuk.

“Staf-staf lain diarahkan bekerja dari rumah sehingga tamat arahan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) kecuali ada keperluan untuk masuk ke pejabat,” tambah kenyataan itu.

Kumpulan Prasarana telah mengaktifkan Jawatankuasa Pengurusan Krisis sejak bulan Mac tahun lepas untuk mengendalikan segala urusan dan aktiviti kerja ketika perlaksanaaan PKP dijalankan. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here