RAMAI ibu bapa meluahkan perasaan tidak senang dengan keputusan ‘saat akhir’ yang diumumkan kerajaan berhubung isu pembukaan sesi persekolahan.
Ketua Puteri Umno, Datuk Zahida Zarik Khan, berkata disebabkan keputusan kerajaan yang sering berubah-ubah itu sekali gus menyusahkan ibu bapa.
“Pada 11 Januari 2021 kerajaan mengumumkan bahawa persekolahan akan dibuka 20 Januari 2021.
“Maka sibuklah ibu bapa membeli peralatan sekolah dan penyediaan-penyediaan lain untuk anak-anak mereka didalam keperitan hidup terutama golongan B40 dan M40,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zahida berkata, namun setelah PKP diumumkan pada 11 Januari lalu Kementerian Pendidikan menegaskan sekolah tetap dibuka seperti dijadualkan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
Sehubungan itu, katanya, lebih rancak ibu bapa membeli penyediaan persekolahan, walaupun di sesetengah kawasan, banjir belum reda dan mereka perlu juga membeli peralatan rumah yang telah rosak akibat banjir.
“Tiba-tiba sebelum sekolah bermula, Kementerian sekali lagi mengumumkan penangguhan persekolahan kecuali mereka yang akan mengambil peperiksaan diperlukan mengikuti kelas secara bersemuka.
“Yang lain-lain nya disarankan mengikuti kelas secara atas talian! Apa dah jadi? Mengapa membuat ‘flip-flop’ dalam masa yang singkat?,” katanya.
Beliau berkata, bagi golangan B40 dan M40, keputusan ini sangat menyusahkan selepas ibu bapa sudah membeli barangan sekolah, membayar yuran dan macam-macam kelengkapan lagi.
“Saya menyeru pada menteri yang berkuasa, fikirlah semasak-masak nya sebelum membuat arahan yang melibatkan rakyat, terutama golongan B40 dan M40 ini.
“Menteri-menteri tidak akan faham kesengsaraan mereka, tapi sekurang-kurangnya faktor ini harus diambil kira sebelum membuat sebarang keputusan.
“Anak-anak kita sudahlah tidak dapat pembelajaran dengan sempurna ketika ini, kita faham, tapi janganlah menambah lagi kesengsaraan rakyat,” katanya. -Malaysiapost

