Nurul Huda Abhar
PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meninjau Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) 2.0 di MAEPS, Serdang bagi melihat pengurusan petugas kesihatan dan pesakit Covid-19 di kawasan tersebut.
Muhyiddin turut menzahirkan rasa bangga dengan segala usaha petugas barisan hadapan dalam memastikan fasiliti di PKRC itu dalam keadaan baik.
“Alhamdulillah, berdasarkan taklimat yang diberikan oleh Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Datuk Indera Dr Sha’ari Ngadiman, saya merasa cukup bangga dengan segala usaha dan penat-lelah semua petugas barisan hadapan dari pelbagai agensi bagi memastikan penyediaan fasiliti dan perkhidmatan terbaik kepada para pesakit.
“Apa yang dilakukan di MAEPS, iaitu mengoperasikan Taman Ekspo Pertanian ini sebagai PKRC dalam tempoh tiga hari dengan kapasiti permulaan sebanyak 3,100 katil, adalah satu tindakan luar biasa dalam situasi yang luar biasa.
“Untuk makluman, tujuh buah dewan telah digunakan dengan kapasiti maksimum 10,000 katil dan sehingga hari ini, sebanyak 9,200 katil sedang digunakan,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook, hari ini.
Beliau berkata, fasiliti itu sedang dinaik taraf secara berfasa untuk dijadikan PKRC Bersepadu MAEPS 2.0 bagi membolehkan merawat 30 pesakit Covid-19 berisiko tinggi dan juga mampu merawat 10 pesakit yang memerlukan bantuan oksigen sehingga ke bantuan pernafasan.
Sementara itu, Perdana Menteri juga berpeluang untuk berinteraksi dengan pesakit Covid-19 yang sedang menjalani kuarantin di salah sebuah dewan berkenaan.
“Alhamdulillah, mereka semua kelihatan bersemangat, ceria dan berpuas hati dengan perkhidmatan serta rawatan yang diberikan. Pada sesi interaksi itu, saya mengingatkan mereka supaya kuat semangat dan banyakkan bersabar dalam menghadapi ujian ini.
“Tidak lupa juga saya mengambil kesempatan bertemu dengan para frontliners kita yang bertugas di pusat itu. Saya sangat bangga melihat kesungguhan serta kesabaran mereka dalam melaksanakan tugas menjaga kebajikan dan memberikan rawatan yang terbaik buat semua pesakit,” ujarnya.
Hadir bersama dalam lawatan tersebut adalah Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Selain itu, Muhyiddin juga mendoakan agar semua pesakit dan petugas kesihatan diberi kesembuhan dan kekuatan dalam memerangi Covid-19.
“Saya berdoa agar semua pesakit Covid-19 terus bersemangat menjalani tempoh yang sukar ini dan semoga mereka semua diberikan kesembuhan. Insya-Allah.
“Kepada frontliners, saya doakan agar anda semua dikurniakan kesabaran dan kekuatan untuk terus berjuang menentang Covid-19. Kita mesti menang!,” katanya. – Malaysiapost

