Nurul Huda Abhar
KERAJAAN telah memperoleh komitmen daripada beberapa hospital swasta untuk menerima rujukan dan merawat pesakit Covid-19, bergantung kepada kapasiti dan kepakaran sedia ada.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sehingga kini Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) mengenal pasti 1,138 katil termasuk 70 katil kritikal di 97 hospital swasta seluruh negara.
“KKM melalui CPRC Perkhidmatan Hospital dan Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS) sedang memperhalusi mekanisma cadangan kerjasama ini dengan lebih lanjut bersama APHM, Kementerian Kewangan serta Bank Negara Malaysia dan segala perkembangan akan diumumkan dalam masa yang terdekat.
“KKM berharap kerjasama dan usaha semua pihak ini akan dapat memutuskan rantaian jangkitan dan penularan Covid-19 di negara kita,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dr Noor Hisham berkata, kerajaan komited untuk mengukuhkan kerjasama antara sektor kesihatan awam dan swasta dalam menangani pandemik Covid-19.
“Antara kerjasama yang telah dijalankan sepanjang pandemik ini adalah inisiatif menggunakan perkhidmatan kesihatan di hospital swasta dan kerjasama ini akan terus dipergiatkan lagi,” katanya. – Malaysiapost

