Inisiatif sudah ada dalam Bajet 2021, bukan khusus untuk PKP – Najib

0
1

Nurul Huda Abhar

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyatakan lanjutan moratorium pinjaman masih tidak secara automatik dan tiada faedah seperti yang diumumkan tahun lalu.

Kenyataan beliau merujuk kepada lanjutan moratorium pinjaman dan pengurangan bayaran balik akan terus disediakan seperti diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini.

“Lanjutan moratorium pinjaman masih bukan automatik dan tiada faedah seperti moratorium pertama tahun lepas. Masih terpulang kepada bank masing-masing.

“Namun, ada sedikit penambahbaikan pada kategori 2 i-Sinar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) walaupun bukan automatik dan tanpa syarat untuk pengeluaran dari akaun 1 sehingga RM10,000.

“KWSP akan membayar wang pendahuluan sebanyak RM1,000 bagi pemohon bawah kategori 2,” tulisnya di laman Facebook, hari ini.

Selain itu, kata Najib, kebanyakan insiatif yang diumumkan Muhyiddin itu sebenarnya sudah ada dalam bajet 2021, bukan khusus untuk pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan tempoh proklamasi darurat.

Terdahulu, Muhyiddin memaklumkan moratorium, termasuk lanjutan moratorium dan pengurangan ansuran pinjaman akan ditawarkan oleh bank seperti diumumkan sebelum ini.

Katanya, bagi negeri yang dilanda banjir, 15 bank telah pun menawarkan moratorium bayaran balik pinjaman.

Selain itu, kerajaan telah dimaklumkan bahawa KWSP akan membuat pembayaran pendahuluan sehingga RM1,000 bagi permohonan kemudahan i-Sinar Kategori 2.

Muhyiddin berkata, proses pembayaran pendahuluan i-Sinar Kategori 2 juga dipermudahkan kerana ahli hanya perlu mengisytiharkan secara kendiri bahawa mereka memenuhi kriteria ditetapkan dan menghantar dokumen sokongan secara dalam talian. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here