PENGUMUMAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini untuk menambah lebih 3,500 anggota kesihatan yang akan mula bertugas hujung bulan ini pasti sedikit melegakan petugas kesihatan.
Bagaimanapun, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) berharap lebih banyak anggota tambahan diberi kepada Kementerian Kesihatan (KKM) untuk membantu petugas sedia ada ketika ini.
Presidennya, Adnan Mat berkata jumlah 3,500 itu hanya mampu mengurangkan sedikit beban tugas kakitangan KKM sedia ada apatah lagi jumlah kes harian yang dicatatkan setiap hari sangat tinggi.
“CUEPACS berharap kerajaan dapat segerakan penyaluran peruntukan untuk menambah lebih ramai bilangan petugas kesihatan yang baru agar dapat meredakan kegelisahan petugas kesihatan sedia ada yang sudah terlalu penat dan letih ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Terdahulu hari ini, Perdana Menteri berkata kerajaan akan menambah lebih 3,500 anggota kesihatan yang mula bertugas hujung bulan ini, dengan peruntukan tambahan RM150 juta.
Ini terdiri daripada penolong pegawai perubatan, paramedik, juruteknologi makmal dan jururawat.
Sementara itu, Adnan berharap pengendali hospital swasta dapat segera memberi bantuan menerima dan merawat pesakit Covid-19 di hospital masing-masing bagi mengurangkan kesesakan di hospital dan fasiliti kesihatan milik kerajaan.
Ketika ini, katanya, adalah masa terbaik untuk hospital swasta menjalankan tanggungjawab menyelamatkan nyawa rakyat dan tidak bersikap menolak segala masalah yang tidak boleh dikendalikan ke hospital kerajaan.
“Pihak pengendali hospital swasta perlu mengeluarkan garis panduan jelas dengan segera kepada kerajaan dan orang awam mengenai kesediaan mereka untuk menerima dan merawat pesakit Covid-19.
“CUEPACS tidak mahu pengumuman kerajaan hanya disambut sebahagian kecil saja daripada pengendali hospital swasta atau sekadar buat cukup syarat saja.
“Pada masa ini semua pihak perlu berkongsi kepakaran dan tenaga untuk menyelamatkan negara daripada pandemik Covid-19. – Malaysiapost

