SAYA minta maaf, kata ahli perniagaan bergelar Datuk atas insiden serangan ke atas dua pelanggan di sebuah restoran di Tropicana Avenue di Petaling Jaya, minggu lalu.
Ahli Perniagaan yang mahu dikenali sebagai ‘Datuk Tan’ dalam video berdurasi 2 minit 10 saat, mengaku tindakannya bersama seorang lagi rakan tidak wajar dan melampaui batas.
“Ketika itu, saya dan rakan berada dalam keadaan tidak rasional. Lalu saya rasa sangat marah kerana merasakan maruah saya, sebagai orang lebih berusia ditegur pemuda berkenaan.
“Kejadian menjadi semakin teruk apabila rakan menyangka saya dipukul pemuda itu yang kemudian dia pun menampar pemuda berkenaan.
“Kemudian, pergaduhan menjadi semakin teruk dan saya semakin tidak terkawal, lalu tertampar pemuda itu. Saya menyesal atas tindakan berkenaan,” katanya.
Datuk Tan mengakui ketika kejadian, dia dan rakannya mabuk dan turut memaklumkan kesediaannya menerima apa sahaja hukuman oleh mahkamah.
“Saya harap anda semua tidak membabitkan keluarga saya dalam hal ini kerana kejadian ini berlaku atas tanggungjawab kami sendiri.
“Adalah tidak wajar kita libatkan orang yang tiada kena mengena dalam hal ini. Saya juga berharap perkara ini tidak lagi dipanjangkan,” katanya.
Sebelum ini media melaporkan kedua-dua lelaki itu menyerah diri di Balai Polis Mutiara Damansara pada Khamis lalu dan kemudian polis mendapatkan perintah reman pada Jumaat untuk menahan mereka.
Mahkamah Majistret bagaimanapun menolak permohonan polis untuk menyambung perintah reman ke atas dua ahli perniagaan yang terbabit dalam serangan terhadap dua pelanggan di sebuah restoran itu.
Kejadian di sebuah restoran di Tropicana Avenue itu berlaku beberapa jam sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan Rabu lalu dan mencetuskan kemarahan rakyat selepas dua klip video tersebar di media sosial.
Kejadian itu berlaku selepas seorang pemuda menegur “Datuk” berkenaan dan rakannya supaya merendahkan suara mereka. – Malaysiapost

