Nurul Huda Abhar
KERAJAAN akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di daerah Seremban dan Port Dickson selama dua minggu bermula esok sehingga 1 Februari ini.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakod berkata, ia untuk mengekang penularan Covid-19 dalam komuniti dan mengawal pergerakan di kedua-kedua daerah berkenaan.
“Bagi daerah Seremban, KKM mengesahkan kadar jangkitan di daerah itu sangat tinggi dan berlaku peningkatan kes secara ketara dalam tempoh 14 hari iaitu dari 777 hingga 876 kes.
“Selain itu, kebanyakan mukim di Seremban adalah Zon Merah iaitu tujuh daripada sembilan mukim. Bilangan kes yang dilaporkan dalam masa 14 hari di tujuh mukim adalah dalam lingkungan 56 hingga 283 kes,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Ismail Sabri berkata, di Port Dickson, KKM mengesahkan terdapat peningkatan kes positif Covid-19 secara mendadak dalam tempoh 14 hari yang melibatkan beberapa kluster iaitu daripada 35 kepada 167 kes. – Malaysiapost

