DAP bagi betis nak paha – Wan Saiful

0
2
Malay Mail

KETUA Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan menyifatkan kenyataan DAP berhubung Jawatankuasa Bebas untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai tempoh darurat sebagai ‘dapat betis nak paha’. 

Menerusi kenyataan, Wan Saiful berkata DAP perlu tahu tugas Jawatankuasa Bebas ialah membuat syor kepada Yang Di-Pertuan Agong dan baginda sendiri yang akan buat keputusan. 

“Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng kata dia tidak mahu Jawatankuasa Bebas jadi “rubber stamp” kepada Tan Sri Muhyiddin (Yassin). 

“Yang akan buat keputusan ialah Yang Di-Pertuan Agong, bukan Tan Sri Muhyiddin. Jangan hina Yang Di-Pertuan Agong seolah-olah baginda boleh dipergunakan sebagai “rubber stamp” oleh sesiapa. Ini institusi tertinggi dalam negara,” katanya. 

Beliau berkata sepatutnya DAP menerima dahulu pengumuman berkenaan dengan takzim dan hormat. 

“Ketepikan sentimen kepartian demi khidmat kepada rakyat. Ia peluang untuk memberi syor terus kepada Yang Di-Pertuan Agong. Laksanakan dulu peranan itu sebaiknya. 

“Apabila Yang di-Pertuan Agong mencemar duli membuka pintu kepada sesiapa sahaja untuk memberi pandangan, adalah salah jika ada syarat pula nak dikenakan. Jangan sombong mengenakan syarat seolah-olah bagi betis hendak paha pula,” katanya. 

Sebelum ini media melaporkan DAP sedia bekerjasama dengan Jawatankuasa Khas Bebas bagi menasihati Yang di-Pertuan Agong berhubung perkara berkaitan darurat sekiranya pembangkang diberi peluang yang sama dalam menentukan hala tujunya. 

Guan Eng berkata, kerjasama itu dapat dicapai jika lebih ramai wakil Parlimen pembangkang dan pakar menyertai jawatankuasa tersebut bagi menjadikannya lebih bebas. 

Bekas Menteri Kewangan itu turut mengesa Perdana Menteri agar memberi jaminan bahawa kerjasama dilaksanakan dengan telus dan ikhlas. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here