Polis Tawau rampas syabu RM1.5 juta

0
1

POLIS merampas dadah jenis syabu seberat 28.79 kg bernilai RM1.5 juta dan menahan tiga lelaki serta dua wanita selepas menyerbu kawasan lapang sebuah ladang kelapa sawit di Batu 10 Jalan Apas di Tawau, Khamis lalu. 

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata, tangkapan dan rampasan itu dibuat susulan Ops Benteng (ATIPSOM) pasukan Bahagian Siasatan Jenayah, kira-kira jam 8 malam. 

Menurutnya, dalam serbuan itu pihaknya mengesan dua kenderaan masing-masing jenis Isuzu Dmax dan Perodua Kembara dinaiki suspek sebelum ditahan untuk pemeriksaan. 

“Pemeriksaan ke atas salah sebuah kenderaan menemukan sebuah beg hitam yang di bahagian belakang kenderaan pacaun empat roda berkenaan. 

“Pemeriksaan lanjut mendapati beg itu mengandungi 25 bungkusan disyaki syabu manakala sebuah lagi beg berwarna coklat mengandungi satu bungkusan hablur jernih disyaki dadah yang sama,” katanya pada sidang media hari ini. 

Mengulas lanjut, Peter berkata semua suspek yang ditahan masing-masing seorang lelaki warga Indonesia, dua lelaki serta dua wanita tempatan berumur antara 16 hingga 55 tahun.

Katanya, siasatan lanjut mendapati semua suspek dipercayai ahli sindiket pengedaran dadah yang bertindak sebagai “transporter”. 

“Polis percaya modus operandi mereka iaitu bergerak dalam satu kumpulan menggunakan dua kenderaan untuk mengelirukan pihak keselamatan sebelum dadah ini diseludup ke negara jiran,” katanya. 

Menurutnya, semua suspek bagaimanapun tidak mempunyai rekod jenayah selain hasil ujian saringan air kencing masing-masing didapati negatif. 

“Mereka kini direman tujuh hari bermula 15 hingga 21 Januari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here