Di sebalik darurat dan PKP, Umno setuju teruskan pemilihan parti

0
1

UMNO bersetuju pemilihan parti diteruskan di semua peringkat seperti dijadualkan pada tarikh yang bersesuaian tahun ini.  

Perkara itu ditegaskan Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan menerusi kenyataan hari ini, di sebalik ketidaktentuan tarikh sesuai disebabkan Proklamasi Darurat dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). 

Beliau bagaimanapun berkata, Perhimpunan Agung Umno yang dijadualkan berlangusng  pada 30 dan 31 Januari ini ditangguhkan ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.  

Katanya, penangguhan itu dibuat selaras dengan Proklamasi Darurat dan PKP yang sedang dilaksanakan di lapan negeri. 

“Adalah diingatkan agar ahli-ahli Umno sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi mengekang penularan Covid-19.  

“Ahli juga diingatkan supaya merapatkan barisan bagi menumpukan kepada isu-isu membela dan membantu rakyat, pada ketika yang begitu mencabar ini,” katanya. 

Baru-baru ini, bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo mahu Umno mempercepatkan pemilihan parti bagi membolehkan lebih 3 juta ahli akar umbi menentukan mandat dan hala tuju bagi mendepani Pilihan Raya Umum (PRU15). 

Ini kerana, katanya, perbalahan antara sesama pimpinan Umno boleh melemahkan parti itu, dan jalan terbaik untuk selesikannya adalah melalui pemilihan parti. 

Kelmarin, Pemuda Umno Kota Raja mencadangkan supaya pemilihan parti diadakan segera dan ia jalan terbaik untuk menamatkan kemelut melanda parti itu ketika ini. 

Ketuanya, Sheikh Weshal Sheikh Ahmad, berkata kemelut dalaman Umno tidak mampu lagi disorok dan sesuatu perlu dilakukan bagi memulihkan semula imej parti yang dilihat tercalar teruk dengan kemelut dan perpecahan. – Malaysiapost 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here