Proklamasi darurat: Demokrasi pincang, pembangkang berhak cabar di mahkamah

0
2

SISTEM Demokrasi Berparlimen di Malaysia disifatkan pincang susulan pelaksanaan proklamasi darurat. 

Ia disuarakan Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution yang mempersoal bagaimana kuasa eksekutif dan kehakiman dapat berfungsi seperti biasa tetapi proses semak dan imbang melalui sidang Dewan Rakyat digantung sepanjang proklamasi darurat itu dilaksanakan. 

“Tiang demokrasi itu ada tiga yakni eksekutif, legislatif dan kehakiman. Kata kunci yang penting dalam amalan demokrasi ialah semak dan imbang.

“Diumum darurat oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin. Dengan nafas yang sama diberitahu eksekutif dan kehakiman berfungsi seperti biasa, hanya Parlimen tidak,” katanya menerusi hantaran Facebook miliknya, hari ini. 

Minggu lalu, proklamasi darurat diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong bagi mengekang dan memerangi pandemik Covid-19 yang melanda negara ketika ini. 

Susulan pengistiharan itu, sidang Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri tidak boleh diadakan dalam tempoh itu yang berakhir 1 Ogos ini. 

Dilaporkan, pihak pembangkang akan 

akan mencabar langkah pengisytiharan darurat yang dibuat kerajaan di mahkamah dalam masa terdekat ini. 

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa, proklamasi darurat itu sebagai langkah terdesak dan melulu, tanpa sebarang asas kukuh, sehingga melebarkan jurang antara rakyat dan kerajaan. 

Menurut Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Kulim Bandar Baru, tindakan mencabar pengisytiharan itu di mahkamah tidak perlu jika perkara tersebut boleh dibawa ke Dewan Rakyat untuk dibahas dan diputuskan.  

“Lalu keputusan kerajaan Muhyiddin ini mahu dicabar di mahkamah. Kenapa? Sebab Perdana Menteri Muhyiddin gantung Parlimen. Kalau Parlimen tidak digantung, di situlah medan keputusan dibahas dan dicabar,” katanya.

Saifuddin juga menolak dakwaan pihak pembangkang sengaja mempolitikkan isu proklamasi darurat dengan menyindir kerajaan PN yang sebenarnya bermain politik untuk menyelamatkan kedudukannya. 

“Alih-alih tindakan mencabar itu ditohmah main politik. Walhal yg membawanya ialah ahli parlimen yakni wakil rakyat yang dipilih secara sah. 

“Yang gantung Parlimen dianggap penyelamat, yang tidak main politik.. alahai,” sindirnya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here