Kukuh strategi penjagaan kesihatan untuk kawal Covid-19

0
2
Datuk Seri Mohamad Hasan

TIMBALAN Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan berpandangan hanya pengukuhan strategi penjagaan kesihatan dapat membantu rakyat Malaysia meningkatkan kawalan terhadap pandemik Covid-19.

Katanya, kesan pandemik Covid-19 kini menyaksikan Malaysia berada dalam situasi yang belum pernah terjadi dalam sejarah, di mana ekonomi merosot hingga berlakunya darurat sehingga perlembagaan dan parlimen tidak dapat berfungsi.

“Kami akui keputusan kerajaan melaksanakan darurat di buat dengan tujuan untuk mengawal Covid-19. Namun, saya percaya adalah lebih baik sekiranya kerajaan mengisyitiharkan ‘health emergency’ dengan peraturan khusus bagi mengawal Covid-19.

“Hanya melalui pengukuhan strategi penjagaan kesihatan kita dapat mengawal pandemik ini. Contohnya, dengan mempercepatkan proses imunisasi dan menggunakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya menerusi kenyataan.

Mohamad berkata, dengan melumpuhkan Perlembagaan, sama ada sebahagian atau sepenuhnya, tidak akan membantu pemulihan Malaysia dari wabak berkenaan.

“Umno menyokong penuh usaha kerajaan dalam memerangi wabak, namun Umno juga bertegas dalam mengembalikan demokrasi dan fungsi demokrasi Perlembagaan.

“Malaysia adalah demokrasi yang berjaya. Sebenarnya, Malaysia adalah contoh terbaik negara demokratik di antara semua negara Islam,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here