‘Rider’ makanan pun harap kerajaan lanjutkan waktu operasi kedai makan

0
1

Nilam Oshman

GOLONGAN penghantar makanan atau ‘rider’ rata-rata menyuarakan agak terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 kali ini, berbanding PKP kali pertama pada Mac tahun lalu.

Ini kerana, menurut mereka tempoh masa operasi kedai makan di kawasan PKP yang dibenarkan sehingga jam 8 malam telah secara tak langsung menjejaskan sumber pendapatan mereka.

‘Rider’ Grab Food, Herizal Amriz, 26, mengakui merasai kemerosotan pendapatan kerana kekurangan permintaan tempahan pelanggan akibat tempoh masa yang terhad.

“Kalau ikutkan pendapatan sekarang berkurangan berbanding PKP 1.0 tapi boleh lagi cari makan.

“Namun terjejas jugalah mungkin sebab waktu operasi kedai makan dipendekkan, ia menyebabkan lambakan rider (akibat kurang tempahan).

“Masa PKP dulu lagi banyak pendapatan sebab PKP sekarang (2.0) ada kelonggaran sikit, orang boleh bekerja dan cari makanan sendiri,” katanya kepada Malaysiapost.

Sehubungan itu, graduasi kewartawan di Universiti Teknologi MARA (UiTM), di Shah Alam itu mengharapkan kerajaan mempertimbangkan untuk melanjutkan tempoh masa operasi kedai makan hanya untuk perkhidmatan penghantaran memandangkan prosedur operasi standard (SOP) PKP kali ini lebih longgar.

“Ia bertujuan agar lebih banyak permintaan dibuat sekali gus menampung lambakan rider ‘delivery’,” katanya lagi.

Nur Adnin Abdul Razak, rider Bungkusit, 28, pula berkata dari segi pendapatan, ketika PKP 1.0 agak tinggi disebabkan ramai orang berada di rumah.

“Jadi banyak tempahan makanan dibuat, lantas banyak penghantaran dapat dilakukan.

“Selepas itu, PKP Bersyarat, PKP Pemulihan turun sikit sebab orang dah mula beli sendiri.

“Namun, PKP 2.0 yang baru ini pendapatan tidak begitu tinggi sebab PKP baru mula, mungkin minggu depan dijangka pendapatan tinggi balik sebab ‘order’ mula masuk semula,” katanya yang berkerja separuh masa sebagai rider sejak Oktober 2019.

Ditanya sama ada bersetuju dengan tempoh masa operasi kedai makan sepanjang PKP 2.0 ini, dia berkata, kebanyakan rider tidak bersetuju kerana pembeli tidak berpeluang dan sempat untuk makan malam.

Justeru, katanya, pendapatan rider terjejas disebabkan tiada tempahan selepas jam 8 malam.

“Lagi satu, jika rider yang buat separuh masa (sepertinya) contoh siang ada kerja hakiki… jadi selepas waktu kerja jam 5 petang baru boleh mula bekerja.

“Sebenarnya waktu masuk ‘order’ banyak ni mula jam 6 petang sampai 10 malam sebab orang makan malam, terutama sekitar 7.25 hingga 8 malam. Jadi, rider ‘part time’ ini sangat-sangat terjejas,” katanya yang menghantar makanan sekitar Lembah Klang.

Sementara itu, Muhammad Afham Mohd Yusoff, 24, pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, memberitahu dia berkerja separuh masa sebagai rider Foodpanda dan Grab Food sejak Ramadan tahun lalu bagi mencari ‘duit poket’.

Afham berkata, dia melakukan penghantaran sekiranya tiada kelas atas talian atau jadual yang tidak padat.

“Hampir setiap hari saya buat Foodpanda atau Grab Food, dalam sehari sekurang-kurangnya enam jam tapi bergantung pada perkhidmatan penghantaran berkenaan.

“Sebab macam Foodpanda ada ‘shift’ (giliran) jadi lebih fleksibel, Grab Food bila-bila boleh ‘on’ (buat penghantaran),” katanya.

Menurutnya, berdasarkan permintaan tempahan makanan ketika PKP 1.0 lebih baik dari PKPB, PKPP termasuk PKP 2.0 ini.

“Waktu operasi kedai makan pun salah satu faktor yang beri kesan kepada pendapatan. Orang nak makan malam antara jam 7 hingga 10 malam tapi sekarang setakat jam 8 malam sahaja,” katanya.

Sebelum ini pelbagai pihak berharap kerajaan dapat melonggarkan SOP kedai makan dengan melanjutkan waktu operasi bagi kemudahan orang ramai serta membantu meningkatkan pendapatan pengusaha premis. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here