PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi minta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDHEP) memantau dan mengambil tindakan segera susulan kenaikan harga barang.
Beliau memaklumkan membuat tinjauan dan mendapati rungutan rakyat terhadap barangan keperluan seperti minyak masak naik sehingga memberi tekanan kepada rakyat yang terkesan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Di luar sana netizen ramai dah mengeluh harga minyak masak naik sampai RM27 untuk 5 kilogram. Dulu boleh dapat antara RM19 hingga RM23. Saya baru check (semak) harga di pasar raya pun naik sehingga RM28.59 untuk 5 kilogram.
“Kalau betullah, memang kecewa dengan nasib yang menimpa rakyat. Rakyat tengah susah, dah la PKP, ada pulak darurat,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Ahmad Zahid berkata, situasi itu makin menyukarkan dan kerajaan seharusnya bertindak segera membantu mengurangkan beban yang ditanggung rakyat.
“Pengangguran makin banyak, rakyat tak ada wang, bantuan PKP kali ni macam tak ada, moratorium pun ada yang tak dapat sebab banyak sangat syarat. Harga barang pulak naik.. KPDNHEP kena ambiklah tindakan,” katanya.-Malaysiapost

