BEKAS Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali menyifatkan tindakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk membatalkan proklamasi darurat adalah tindakan yang akan menemui kegagalan.
Beliau berkata, tiada peruntukan undang-undang bagi membolehkan Anwar dan Ahli Parlimen lain yang tidak bersetuju dengan proklamasi darurat untuk berbuat demikian.
“Anwar dan lain-lain Ahli Parlimen tidak boleh mempetisyen Yang di-Pertuan Agong untuk menarik balik apa yang telah dilakukan secara berperlembagaan (oleh Yang di-Pertuan Agong).
“Tidak ada peruntukan undang-undang untuk Anwar berbuat demikian. Tindakan beliau akan menemui kegagalan,” katanya menerusi satu komen di Facebook.
Sebelum ini, Presiden PKR itu mencadangkan semua Ahli Parlimen menghantar surat kepada Yang di-Pertuan Agong bagi memohon perkenan baginda membatalkan proklamasi darurat dan menitahkan sidang Parlimen diadakan secepat mungkin.
Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) dan Presiden PKR berkata, beliau sudah menghantar surat kepada semua Ahli Parlimen supaya mereka berbuat demikian dalam kadar segera.
“Dalam surat itu, saya mencadangkan kepada semua Ahli Parlimen supaya mengemukakan rayuan dalam kadar segera. Warkah itu juga hendaklah disesuaikan menurut pertimbangan mereka atau parti,” katanya dalam satu memo dari Pejabat Ketua Pembangkang, semalam.
Anwar berharap, permohonan Ahli Parlimen nanti mendapat ihsan dan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong untuk menarik balik pengisytiharan darurat dan seterusnya menitahkan agar sidang Parlimen diadakan dengan segera.-Malaysiapost

