DAP sokong cadangan Anwar

0
2

DAP menegaskan parti itu menyokong cadangan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya satu petisyen dalam kalangan semua Ahli Dewan Rakyat dikeluarkan bagi membatalkan penggantungan Parlimen.

Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng berkata, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tiada sebab penting untuk melarang Parlimen daripada bersidang.

“Jika polis boleh bertekad untuk merekod kenyataan saya ketika PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dan tempoh darurat, maka lebih banyak alasan lagi untuk membenarkan sidang parlimen berfungsi secara biasa.

“Tiada sebab untuk Perdana Menteri menggantung Parlimen dan melarang Parlimen bersidang” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) dan Presiden PKR menerusi satu kenyataan mencadangkan semua Ahli Parlimen menghantar surat kepada Yang di-Pertuan Agong bagi memohon perkenan baginda membatalkan proklamasi darurat dan menitahkan sidang Parlimen diadakan secepat mungkin.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, beliau sudah menghantar surat kepada semua Ahli Parlimen supaya mereka segera berbuat demikian dan berharap permohonan itu nanti mendapat ihsan dan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong untuk menarik balik pengisytiharan darurat dan seterusnya menitahkan agar sidang Parlimen diadakan segera.

Sementara itu, Guan Eng mengesahkan beliau memberi keterangan kepada polis semalam, berhubung satu kenyataan awam yang dibuatnya pada 2019.

Bekas Menteri Kewangan itu memaklumkan sedang disiasat mengikut Seksyen 504 dan 505(c) Kanun Keseksaan berhubung satu kenyataan awam yang dibuatnya pada 2019.

“Semalam, saya diberikan notis bertulis oleh polis untuk berjumpa dengan mereka di Pulau Pinang dan saya memberikan kerjasama penuh melalui perjumpaan dengan pegawai polis Bukit Aman pada hari sama untuk merekod kenyataan saya.

“Polis sedang menyiasat dua kenyataan awam yang dibuat saya pada 2019, ketika saya masih berada dalam kerajaan dan polis memaklumkan saya sedang disiasat mengikut Seksyen 504 dan 505C Kanun Keseksaan,” katanya.-Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here