Sokong Presiden, jangan tambah masalah – Pemuda Umno

0
1

PERGERAKAN Pemuda Umno mengingatkan semua pihak supaya bersatu menyokong presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan tidak menambahkan masalah yang boleh memecah-belahkan parti itu dari dalam.

Exconya, Mustafa Shah Abdul Hamid berkata, beliau terpanggil dengan gesaan supaya Zahid berehat daripada menjalankan tugas termasuk memimpin parti itu.

“Bagi saya, ini bukan masa yang sesuai untuk mencipta gelora di dalam parti ketika kita sedang membina kekuatan dan keutuhan bagi mengembalikan sokongan rakyat.

“Ahli Umno sepatutnya bersatu padu berdiri teguh di belakang presiden ketika mana Umno berdepan situasi sukar selepas tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-14 lalu,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau yang juga merupakan Ketua Pemuda Umno Kuala Kangsar itu berkata, ketika parti mengalami kejatuhan dan dalam keadaan yang serba kekurangan, Zahid masih mencurahkan bakti dan sanggup menjadi Presiden di dalam keadaan Umno sebagai pembangkang.

“Oleh itu, kita semua perlu bersatu hati, barsatu padu mempertahankan rumah Umno kita.

“Elakkan daripada pertelingkahan yang boleh meruntuhkan Umno dari dalam,” tegasnya.

Tambahnya, ahli Umno perlu mencontohi parti lain, baik parti kawan mahupun lawan yang tidak pernah mendesak presiden mereka meletakkan jawatan dalam apa juga situasi.

“Bahkan mereka mempertahankan Presiden mereka.

“Jangan sesekali kita menjadi seperti tikus membaiki labu,” ujarnya.

Gesaan Mustafa itu sebagai membidas kenyataan dari Ketua Pemuda Umno Pontian, Mohd Helmi Buang yang menggesa agar Zahid berehat secara terhormat.

Kata Mohd Helmi, beliau tetap dengan pendiriannya itu kerana mahu melihat parti tersebut kembali meraih kepercayaan rakyat dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.

Sementara itu, Ketua Pemuda Umno Pagoh, Fazli Salleh pula meluahkan rasa simpati terhadap Presiden Umno itu kerana diserang dari dalam dan luar parti.

“Dalam meraikan pendapat, ahli Umno perlu mempertahankan istitusi Presiden tidak kira siapa individunya.

“Saya yakin Presiden sekarang berjiwa besar dan mengambil maklum semua isu yang dibangkitkan.

“Walaubagaimanapun, dalam pada beberapa pemimpin Umno yang mahukan PRU diadakan sebaik sahaja isu Covid-19 selesai, Umno juga perlu bersedia untuk membariskan pemimpin yang berkaliber, yang bersih dan yang disukai rakyat untuk ditonjolkan sebagai Perdana Menteri alternatif sekiranya dalam PRU-15 nanti Umno tidak bersama Perdana Menteri yang ada sekarang,” katanya.

Oleh itu, tambah Fazli, beliau menaruh harapan besar agar Umno melakukan pemilihan kepimpinan bagi menghadapi PRU15 iaitu dengan mengadakan Pemilihan seperti yang dijadualkan pada tahun 2021 dan perwakilan mampu memilih pemimpin yang disukai oleh rakyat.

“Kerana, Umno tidak boleh menang PRU dengan undi ahlinya sahaja tetapi undi rakyat ramai.

“Persepsi rakyat yang menolak sesetengah pemimpin.. Umno perlu diambil perhatian.

“Umno perlu mengikut arus denyut nadi rakyat, bukan sentimen ahli Umno semata-mata untuk menang PRU15.

“Kali ini perwakilan Umno perlu bermentaliti untuk menang PRU, bukan setakat menang jawatan dalam parti sahaja.

“Tanpa menidakkan jasa2 pemimpin lama, Umno perlu ‘move on’ sebagai parti yang segar sepanjang zaman.

“Parti yang dibarisi pelapis dari kalangan org muda.. Undi 18 merupakan cabaran dan setakat ini belum ada signal positif dari golongan ini kepada Umno,” katanya.

Beliau menyeru semua pihak mengambil iktibar PRU-14 di mana mereka ditolak oleh rakyat kerana isu-isu yg berlegar pada pemimpin-pemimpin.

“Tak dinafikan itu semua sentimen dan persepsi, tapi kita kena akui kita gagal menguruskannya dan sekali lagi kita gagal menguruskan sekarang.

“Harapan saya, jika itu yang terbaik untuk Presiden dan parti, maka berjiwa besarlah dengan pandangan semua. ” Uruskan persepsi dan sentimen ini dengan baik, jangan sesekali menidakkan sentimen dan persepsi rakyat.. kerana rakyat mengundi berdasarkan persepsi dan sentimen. Jadikan PRU-14 sebagai tauladan,” katanya. -Malaysiapost.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here