‘Polis kena siasat pemimpin PAS, PN juga’ – Guan Eng

0
3

SETIAUSAHA Agung DAP, Lim Guan Eng berharap polis menyiasat pemimpin PAS dan Perikatan Nasional (PN) yang didakwa banyak mengeluarkan ungkapan berbaur perkauman dan pelampau agama.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, jika polis boleh mengambil keterangannya ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), maka polis juga harus mengambil tindakan sama terhadap pemimpin parti kerajaan yang banyak laporan polis telah dibuat terhadap mereka.

“Semalam, dalam keadaan PKP dan tempoh darurat, saya telah diberikan notis bertulis oleh polis untuk berjumpa dengan mereka di Pulau Pinang dan saya memberikan kerjasama penuh melalui perjumpaan dengan pegawai polis Bukit Aman pada hari yang sama untuk merekod kenyataan saya.

“Polis sedang menyiasat dua kenyataan awam yang dibuat saya pada 2019, ketika saya masih berada dalam kerajaan dan polis memaklumkan saya sedang disiasat mengikut Seksyen 504 dan 505C Kanun Keseksaan.

“Saya berharap polis juga akan merekod kenyataan pemimpin PAS dan PN dengan cara yang sama semasa tempoh ini kerana banyak laporan polis telah dibuat terhadap mereka kerana mengeluarkan ungkapan berbaur perkauman dan pelampau agama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu beliau berkata, jika polis boleh bertekad untuk merekod kenyataan semasa PKP dan darurat, maka lebih banyak alasan lagi untuk membenarkan sidang Parlimen berfungsi secara biasa.

“Tiada sebab untuk Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menggantung Parlimen dan melarang Parlimen bersidang.

“Parlimen telah berfungsi dengan normal dan bersidang pada setiap masa walaupun empat Pengisytiharan Darurat yang lama masih belum dimansuhkan.

“Perdana Menteri melakukan kesalahan menggantung Parlimen dan DAP menyokong seruan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk satu petisyen di kalangan semua Ahli Parlimen bagi membatalkan penggantungan Parlimen dan memulihkan Parlimen,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here