DATUK Seri Najib Razak mempersoalkan tindakan kerajaan membenarkan Ikea Malaysia beroperasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.
Belaiu berkata, ia sekali gus membuktikan berlaku ketidakadilan apabila peniaga-peniaga kecil tidak dibenarkan berniaga namun sebaliknya bagi penjualan perabot.
“Semua gedung Ikea seluruh negara dibenar terus beroperasi dalam PKP ini?
“Malah kanak-kanak dan warga emas dibenarkan berkunjung walaupun tidak digalakkan.
“Adakah penjualan perabot termasuk dalam Perkhidmatan Perlu (Essential Service) tapi ramai peniaga kecil lain tidak dibenarkan meniaga pula?,” soalnya.
Katanya, kerajaan mesti bersikap adil pada semua pihak supaya dapat meneruskan kehidupan ketika PKP ini.
Beliau turut meminta PKP kali kedua ini dijalankan dengan tegas supaya dapat menangani peningkatan kes peningkatan Covid-19 di negara ini.
“Biarlah PKP 2.0 fasa pertama untuk dua minggu ini lebih tegas agar ianya dapat mencapai matlamat dan tidak perlu dilanjutkan berulang kali,” katanya.
PKP 2.0 yang dikuatkuasakan di enam buah negeri menyaksikan beberapa aktiviti perniagaan tidak dibenarkan beroperasi pada tempoh penguatkuasaan dari 13 hingga 26 Januari ini.
Perniagaan yang dilarang operasi ketika PKP iaitu antaranya kedai gunting rambut, salon, spa dan refleksologi, pasar malam, kelas tuisyen, muzik, tarian, seni, mengaji, bahasa dan kedai pakaian serta kelab malam, pub, pusat karaoke dan konsert. -Malaysiapost

