Presiden Umno perlu ‘berehat secara terhormat’

0
2

PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi perlu berehat secara terhormat kerana di bawah kepimpinannya parti itu masih belum dapat melihat masa depan yang jelas.

Ketua Pemuda Umno Pontian, Mohd Helmi Buang, berkata apa yang disuarakannya itu adalah pandangan peribadi demi melihat parti itu kembali meraih kepercayaan rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.

“Ia selepas melihat terhadap ‘kluster’ ataupun kelompok tertentu dalam Umno yang cuba menjadi pencatur kuasa.

“Penyusunan semula parti tidak relevan, masih lagi ada kluster atau ‘warlord’ dalam Umno yang bertanding untuk tentukan siapa berkuasa.

“Bahkan dalam Umno masih orang yang keluar dari Umno, tetapi tetap berada dalam Umno,” katanya kepada Malaysiapost.

Dalam pada itu, Mohd Helmi berkata, beliau redha sekiranya kenyataannya itu akan menyebabkan dirinya dikenakan tindakan.

“Saya redha, terpulang kepada pucuk pimpinan parti jika nak hukum saya. Saya pejuang Umno, bukan pejuang individu.

“Kita nak yakinkan rakyat, jika undi 18 dilaksanakan, Umno akan dilihat lemah dan mereka beralih kepada parti lain.

“Saya pertahankan pendirian (supaya presiden berehat) saya dan tak akan berpatah balik,” katanya.

Pada 21 Disember 2019, Ahmad Zahid mengambil keputusan bercuti dan menyerahkan tugasnya selaku Presiden Umno termasuk jawatan pengerusi BN kepada kepada Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Dalam satu sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Khas Umno, Mohamad memaklumkan perkara berkenaan bahawa beliau akan memangku jawatan tersebut bagi menjalankan tugas-tugas Presiden Umno.

Malah, Ahmad Zahid mengesahkan hal tersebut dalam Wacana U3.0 ‘Sesi Hati Ke Hati Bersama Presiden Umno’, bahawa beliau bersetuju menyerahkan tugasnya kepada Mohamad selaku timbalannya demi keutuhan parti serta demi kepentingan pimpinan semua peringkat terutama Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan Umno Bahagian. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here