Anwar minta Ahli Parlimen utus warkah kepada Agong, mohon batal darurat

0
2

Muhammad Mustakim Ramli 

KETUA Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menghantar surat kepada semua Ahli Parlimen bagi mengutus warkah kepada Yang di-Pertuan Agong untuk membatalkan pengisytiharan darurat dan menitahkan sidang Parlimen segera. 

Menerusi kenyataan, Presiden PKR itu menyatakan di dalam surat itu beliau telah mencadangkan kepada semua Ahli Parlimen supaya mengemukakan rayuan segera. 

“Warkah tersebut juga hendaklah disesuaikan menurut pertimbangan semua YB atau parti.

“Semoga warkah ini nanti mendapat ihsan dan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong untuk menarik balik pengisytiharan darurat dan seterusnya menitahkan agar sidang Parlimen harus diadakan dalam kadar segera sebelum 31 Januari 2021. 

“…. Untuk membahaskan isu darurat, Covid-19 dan kemelut ekonomi yang melanda negara,” katanya menerusi kenyataan hari ini. 

Beliau turut mengemukan salinan surat yang dihantar kepada semua Ahli Parlimen untuk rujukan pihak media. 

Antara kandungan surat berkenaan mengatakan cadangan Perdana Menteri dan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) adalah tanpa keabsahan dengan penyusutan jumlah Ahli Parlimen yang menyokong kerajaan. 

“Ahli-ahli YB tidak mempertikai langkah munasabah yang diambil bagi menangani wabak Covid-19, namun jumlah majoriti ahli YB telah menggesa agar Belanjawan 2021 harus menumpukan isu kesihatan, kelengkapan termasuk peruntukan terhadap petugas barisan hadapan. 

“Pandangan dan peruntukan yang sedia ada mencukupi untuk mengekang Covid-19 termasuklah langkah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKPB (Bersyarat),” kata salinan berkenaan. 

Kandungan surat itu juga menyatakan negara tidak memerlukan darurat. 

“Kemelut ekonomi amat memperihatinkan manakala jumlah pengangguran, kemiskinan dan kesenjangan bertambah. Darurat pastinya akan menyebabkan kedudukan ekonomi bertambah meruncing. 

“Kami beranggapan Perdana Menteri dan kerajaan telah terlanjur dan tersasar dalam menyampaikan nasihat kepada Yang-di Pertuan Agong kerana sesungguhnya tidak terkait dengan permasalahan Covid-19, banjir atau ekonomi. 

“Perdana Menteri lebih tertumpu kepada usaha mempertahankan kuasa,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here