Kerana mabuk, remaja rempuh klinik

0
1

ANGKARA mabuk, seorang remaja lelaki cedera ringan selepas kereta dipandunya merempuh sebuah klinik di Orchard Plaza di Tenom, Sabah malam tadi.

Bagaimanapun, hanya remaja berusia 19 tahun itu mengalami kecederaan berikutan tiada mangsa lain berada dalam klinik ketika kejadian jam 10.45 malam itu.

Ketua Polis Daerah Tenom, Deputi Superintendan Hasan Majid berkata, siasatan awal mendapati pemandu Proton Iswara berkenaan dikatakan dalam perjalanan pulang selepas menghantar rakannya kira-kira 200 meter dari lokasi kejadian.

Katanya, mangsa dipercayai gagal mengawal kenderaan sehingga merempuh pintu masuk klinik terbabit ketika melalui lokasi kejadian.

“Mangsa dikatakan hilang kawalan ketika cuba membelok ke kanan sebelum terus melanggar lot klinik terbabit.

“Akibat kejadian itu, pemandu yang cedera ringan dibawa ke Hospital Tenom untuk rawatan,” katanya seperti dilapor Kosmo.

Hasan berkata, pemandu remaja terbabit kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) untuk siasatan lanjut selepas menerima rawatan.

Katanya, pemandu dipercayai di bawah pengaruh alkohol tetapi kes masih dalam siasatan mengikut Seksyen 45 A (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here