Doktor ini kongsi pantang larang ketika melawat bayi

0
3

DOKTOR pediatrik, Dr Redza Zainol berkongsi petua-petua bagi perkara yang ‘tidak perlu dilakukan’ ketika melawat bayi.

Menerusi Twitternya @drRedzaZainol berkata, hidupnya setiap hari dipenuhi dengan bayi kerana beliau bertugas di wad berkenaan.

“Sehari boleh pegang, belek-belek sampai 30 hingga 40 bayi.

“Ada beberapa perkara ini, tidak perlu buat kalau pergi melawat bayi,” ciapnya.

Beliau berkata, petua pertama, jika nampak bayi yang baru lahir, jangan main ‘cak cak’ dengan bayi itu.

“Dia belum pandai lagi nak main cak cak. Mata bayi itu baru boleh tengok bayang-bayang saja.

“Kedua, jangan suka-suka pegang dan cium bayi orang tanpa izin ibu dan ayah bayi. Ia kerana bayi ini sistem imun dia belum matang, jadi mudah dijangkiti kuman.

“Banyak kuman yang ada pada orang dewasa, gejala tak teruk tapi pada bayi sampai boleh mengancam nyawa,” tulisnya.

Tambah Dr Redza, petua ketiga, jangan tegur bayi tersebut matanya juling.

Katanya, kebanyakan bayi ini, kedudukan mata dia akan jadi normal semula selepas umur empat bulan.

“Kalau masih juling selepas umur empat bulan, boleh dirujuk pada doktor mata.

“Keempat, kurangkan bagi ‘tips’ itu dan ini pada ibu muda.

“Kalau dia tanya, bolehlah kita kongsi tips dan pengalaman. Yang lebih penting ialah sokongan moral dan mental. Kita ada di situ, dah cukup untuk buat dia rasa selesa,” katanya.

Kata beliau, petua terakhir penting kepada perokok-perokok bahawasanya mereka ini mempunyai risiko membawa ‘third hand smoke’ pada bayi.

“Maksudnya partikel asap rokok pada badan perokok tu boleh melekat pada kain bedung dan baju bayi,” ciapnya lagi.

Berdasarkan Mayo Clinic, kanak-kanak  paling terdedah kepada kesan tersebut.

Ini kerana mereka cenderung menyentuh permukaan dan meletakkan objek di  hidung dan mulutnya.

Kesannya adalah kanak-kanak terbabit akan mengalami penyakit seperti asma, jangkitan telinga, atau pneumonia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here