USAHAWAN kosmetik kontroversi, Muhammad Sajjad Kamaruzzaman atau Nur Sajat mengakui mengalami tekanan perasaan dan terpaksa bergantung kepada ubat tidur selama empat hari berturut-turut.
Menerusi InstaStory di Instagram miliknya, Sajat, 36, berkongsikan fotonya memakai alat pernafasan di sebuah pusat perubatan.
Dia turut meluahkan bahawa dirinya mahukan ketenangan dan kebahagiaan seperti keluarga lain.
“Bila mati..semua akan tenang. 2021 aku nak tenang, aku nak bahagia.
“Aku nak hidup macam keluarga lain.. Insya-Allah. Terima kasih. Buat saya makin dekat dengan tarikh mati saya,” tulisnya.
Sebelum ini Sajat menerusi laman Instagram mendakwa ditahan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pada 6 Januari lalu di Pusat Tahanan Sementara (PTS) di Kuala Kubu Bharu.
Menerusi video yang dimuat naik, dia mendakwa menerima layan tidak wajar walaupun datang bertujuan untuk memberi keterangan dan kerjasama pada pihak JAIS.
Menerusi satu lagi video yang dimuat naik pemilik akaun lain menunjukkan dia dilihat berbaju biru, mengenakan cermin mata sedang menangis teresak-esak sambil ditenangkan oleh seorang individu di sisinya.
Kelmarin, JAIS mengesahkan kes Sajat disiasat mengikut Seksyen 10 Enakmen Jenayah Syariah Selangor No.5 Tahun 1995.
JAIS menerusi kenyataan berkata, siasatan dibuat berikutan tindakannya di dalam Negeri Selangor dan beberapa akaun yang diterima mengenai perlakuan beliau pada 2018 dan 2020.
“JAIS mengambil maklum akan video yang telah ditularkan oleh Sajjad berkaitan dengan insiden melibatkan dirinya dan beberapa orang penguatkuasa JAIS baru-baru ini.
“Sajjad telah membuat laporan polis berkaitan indisen tersebut,” kata kenyataan itu. – Malaysiapost

