Tiada politik, tukar Perdana Menteri ketika darurat

0
1

Nilam Oshman

PENGANALISIS politik, Datuk Zainal Kling menegaskan bahawa sebarang aktiviti berkaitan politik tidak dibenarkan selepas pengisytiharan darurat.

Beliau berkata, ketika ini tidak boleh sekiranya seseorang ingin menukar atau menggantikan kerajaan terutama sebagai Perdana Menteri.

Bahkan, katanya, kini pemerintahan tertakluk kepada arahan Yang di-Pertuan Agong,
Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Untuk waktu darurat tak ada (politik) kerana sekarang ini Agong yang memerintah… hingga 1 Ogos 2021 (sepatutnya) tak ada main politik,” katanya kepada Malaysiapost.

Kelmarin, Yang di-Pertuan Agong memperkenankan tempoh pelaksanaan darurat hingga 1 Ogos 2021 atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif Covid-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

Perkenan tersebut diberi selepas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyembah maklum keputusan Mesyuarat Jemaah Kabinet dan mengambil kira rundingan Seri Paduka Baginda dengan Raja-Raja Melayu.

Mengulas lanjut, Zainal berkata semua hal berkaitan negara berada di tangan Yang di-Pertuan Agong cuma baginda masih belum secara tersurat melantik Perdana Menteri bagi menjalankan tugasnya.

“Sepatutnya Agong mengeluarkan surat melantik Perdana Menteri (untuk menjalankan tugas) maka Perdana Menteri akan melantik anggota-anggota Kabinetnya (bagi menguruskan negara serta menangani penularan wabak Covid-19).

“Jadi, rakyat masih menunggulah Perintah undang-undang yang dibuat oleh Agong,” katanya.

Muhyiddin ketika memperincikan Proklamasi Darurat kelmarin memaklumkan, sepanjang tempoh darurat berkuat kuasa, pilihan raya umum (PRU), pilihan raya negeri (PRN) dan pilihan raya kecil (PRK) tidak akan dilaksanakan.

Kata beliau, Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) juga tidak akan bersidang sehingga satu masa yang ditetapkan Yang di-Pertuan Agong. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here