TINDAKAN pantas pasukan keselamatan berjaya mematahkan cubaan 56 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia menyusup masuk negara ini menggunakan tongkang di sekitar perairan Pantai Jeram, Kuala Selangor, hari ini.

Warga asing berusia 5 hingga 59 tahun itu ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) Pelabuhan Klang dengan kerjasama Unit Tindakan Khas (UTK) Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada kira-kira jam 3 pagi.
Komander PPM Wilayah 1, Asisten Komisioner Rosman Ismail berkata, tongkang tersebut dikesan dalam keadaan mencurigakan oleh pasukan keselamatan semasa menjalankan rondaan Op Benteng.
“Hasil pemeriksaan menemui 34 lelaki, 21 perempuan dan 1 kanak-kanak di dalam tongkang tersebut.
“Mereka yang ditahan dibawa ke Markas Operasi PPM Pelabuhan Klang untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, siasatan awal mendapati pendatang asing berkenaan berlepas dari Tanjong Balai, Indonesia pada jam 10 malam kelmarin sebelum tiba jam 2 pagi tadi.
Rosman berkata, kesemua yang ditahan dipercayai membayar antara RM1,400 hingga RM1,700 untuk dibawa memasuki negara ini secara haram.
“Kes disiasat mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) dan Akta Imigresen 1986,” katanya. – Malaysiapost

