Nilam Oshman
BEKAS Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) berpendapat bahawa kekosongan jawatan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mestilah diisi dari kalangan mereka yang mempunyai ilmu agama.
Datuk Nakhaie Ahmad, berkata penting untuk mereka yang menggalas jawatan itu mempunyai pengetahuan dan memahami tentang Islam dengan mendalam.
Bahkan katanya, adalah lebih elok jika jawatan itu disandang individu dalam Jakim itu sendiri.
“Orang agama itu bukan dipandang sekadar kelulusan tetapi ilmu dalam agama.
“Jika mereka itu daripada lulusan mana-mana universiti atau fakulti agama, ia diberi keutamaan namun individu berkenaan mesti ada wawasan, kebolehan dan kualiti (dalam pengetahuan agama),” katanya kepada Malaysiapost.
Pada 8 Oktober tahun lalu, Ketua Pengarah Jakim, Datuk Paimuzi Yahya meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh, Selangor.
Unit Komunikasi Korporat Jakim memaklumkan, Allahyarham, 59, meninggal dunia akibat komplikasi jantung dan paru-paru.
Sehingga kini jawatan nombor satu jabatan berkenaan belum lagi diisi.
Mengulas lanjut, Nakhaie berkata, ciri-ciri tersebut perlu kerana sektor agama dilihat masih ke belakang berbanding kemajuan sektor awam dan swasta.
“Sektor agama ketinggalan walaupun ada kemajuan tetapi lambat.
“Padahal sektor agama mempunyai potensi yang besar untuk kehadapan,” katanya. – Malaysiapost

