Darurat diisytihar atas sebab politik – Saifuddin Nasution

0
2

DI sebalik alasan pelaksanaan perintah darurat disebabkan Covid-19, namun sukar untuk menepis ia diisytiharkan atas sebab politik, kata Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata ini kerana ia diisytiharkan kebetulan ketika beberapa Ahli Parlimen kerajaan telah dan bersiap untuk umum manarik sokongan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Sebelum tumbang elok buat darurat. Selamat dan kekal pegang kuasa.

“Kebetulan juga (Donald) Trump pun umum darurat hari ini setelah kalah pemilihan presiden dan hilang kuasa.

“Bezanya seorang lagi buat darurat sebelum hilang kuasa,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperkenankan tempoh pelaksanaan darurat hingga 1 Ogos 2021 atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif Covid-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

Dalam perutusan khas sebentar tadi, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan diadakan sebaik sahaja Jawatankuasa Bebas yang akan ditubuhkan memperakukan bahawa Covid-19 telah reda atau pulih sepenuhnya.

Perdana Menteri berkata semua pilihan raya termasuk Pilihan Raya Negeri (PRN) serta Pilihan Raya Kecil (PRK) tidak akan diadakan dalam tempoh darurat berkuat kuasa.

Malah, Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) juga tidak akan bersidang.

Sementara itu, Anggota Jawatankuasa Parti Amanah Negara (Amanah) Muhammad Faiz Fadzil berkata darurat tidak menghalang perubahan Perdana Menteri jika Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sah memperolehi majoriti.

“Muhyiddin salah tafsir Perlembagaan dan seharusnya berundur,” katanya.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor, Najwan Halimi pula menyifatkan pengisytiharan darurat dibuat oleh kerajaan untuk terus berkuasa.

“Bila dah hilang majoriti, guna taktik isytihar darurat untuk terus bergayut pada kuasa. Bacul!,” katanya. – Malaysiapost

Foto Kredit: Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here