Semua menteri jalani saringan, 3 disahkan positif Covid-19 – Dr Adham

0
1

SEMUA menteri Kabinet sudah menjalani ujian saringan Covid-19, dengan tiga daripada mereka disahkan positif jangkitan pandemik itu.

Memetik laporan Bernama, tanpa mendedahkan nama mereka yang positif, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata pihaknya sedang memberi rawatan kepada mereka di fasiliti sedia ada.

“Semua yang kita uruskan untuk buat saringan Covid-19 sudah dilakukan dan kita akan beri rawatan kepada tiga Jemaah Menteri yang disahkan positif Covid-19,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Amanat Tahun Baharu 2021 Kementerian Kesihatan di Putrajaya hari ini.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed serta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun, disahkan positif Covid-19.

Mustapa kini dalam rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II Kota Bharu, manakala Rina dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.

Ditanya sama ada menteri Kabinet yang negatif akan menjalani kuarantin, Dr Adham berkata, KKM akan membuat penilaian risiko terhadap anggota Jemaah Menteri sebelum mengeluarkan apa-apa arahan.

“Penilaian risiko akan dibuat oleh KKM bagi memastikan sama ada mereka ini perlu kuarantin atau tidak,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here