Nurul Huda Abhar
PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan terus mempertahankan kebebasan badan kehakiman dan tidak akan sekali-kali mencampuri urusan mahkamah.
Beliau berkata sepanjang tempoh Proklamasi Darurat berlangsung badan kehakiman akan terus berfungsi untuk menegakkan hukum dan keadilan.
Beliau membuat kenyataan tersebut dalam Pengumuman Khas Darurat yang disiarkan secara langsung hari ini.
Sebelum ini, Setiausaha Agung Umno, Datuk Sei Ahmad Maslan dalam kenyataan berkata salah satu sebab utama parti tersebut tidak puas hati dengan kerajaan PN adalah kerana langkah PN meneruskan kes mahkamah terhadap parti tersebut dan pemimpinnya.
Ahmad yang juga salah seorang pemimpin Umno yang telah dihadapkan ke mahkamah menyatakan perkara itu sebenarnya mengatasi rasa tidak puas hati Umno dari segi pengagihan jawatan dalam kerajaan.
Sementara itu, Perdana Menteri mengingatkan tindakan tegas menanti mana-mana pihak yang didapati cuba mengganggu gugat usaha memerangi penularan Covid-19.
Katanya, langkah itu selari tekad kerajaan untuk memastikan keselamatan negara dan rakyat sentiasa terjamin.
“Saya juga minta pemimpin agama dapat mendoakan kesejahteraan Malaysia dan supaya kita dilindungi daripada sebarang bala bencana,” katanya. – Malaysiapost

