Agong perkenan isytihar darurat bendung pandemik Covid-19

0
3

YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah memberi perkenan supaya Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan sebagai langkah proaktif membendung Covid-19.

Seri Paduka Baginda turut memberi perkenan untuk tempoh pelaksanaan darurat itu sehingga 1 Ogos 2021 atau suatu tarikh lebih awal jika angka kes positif Covid-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

Menerusi kenyataan dikeluarkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Dato’ Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, Al-Sultan Abdullah berpandangan bahawa penularan wabak Covid-19 di negara ini berada di tahap amat kritikal dan ada keperluan Pengisytiharan Proklamasi Darurat berdasarkan Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

“Perlu dimaklumkan perkenan ini juga telah mengambil kira rundingan Seri Paduka Baginda dengan Raja-Raja Melayu. Perkenan ini turut mengambil kira keselamatan diri rakyat dan kepentingan negara.

“Ianya juga berdasarkan statistik semasa Covid-19, khususnya kekangan kemudahan-kemudahan logistik mengikut negeri-negeri,” katanya.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong berkenan menerima menghadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Istana Negara,
semalam.

Pada sesi menghadap yang berlangsung 45 minit bermula jam 5.30 itu, Muhyiddin Yassin telah menyembah maklum keputusan Mesyuarat Jemaah Kabinet berkenaan cadangan pelaksanaan Pengisytiharan
Proklamasi Darurat.

Ia sebagai langkah proaktif untuk membendung dan melandaikan kes positif Covid-19 harian yang telah mencecah empat angka secara berterusan sejak Disember lalu.

Keputusan supaya Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan antara lain setelah penjelasan Perdana Menteri dan sembah taklimat daripada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki bin Ali; Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun; Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah; Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Datuk Abdul Ghani Salleh; Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador dan Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Haji Affendi bin Buang.

Menurut kenyataan itu lagi, berdasarkan statistik, 15 hospital Covid-19 mencatatkan kadar penggunaan katil Covid-19 (bukan ICU) melebihi 70 peratus.

Di Lembah Klang, penggunaan katil ICU untuk pesakit Covid-19 di Hospital Kuala Lumpur dan Pusat Perubatan Universiti Malaya telah mencapai 100 peratus, manakala di Hospital Sungai Buloh 83 peratus.

Kadar penggunaan katil ICU untuk pesakit Covid-19 di Perak, Selangor, Melaka, Terengganu dan Sarawak pula telah melebihi 70 peratus.

Al-Sultan Abdullah turut berkenan terhadap cadangan kerajaan bagi pembentukan satu Jawatankuasa Bebas yang akan dianggotai oleh Ahli-ahli Parlimen Kerajaan dan pembangkang serta pakar-pakar kesihatan dan yang berkait.

“Jawatankuasa Bebas ini akan mengesyorkan kepada Seri Paduka Baginda sekiranya pelaksanaan darurat ini dapat ditamatkan lebih awal.

“Perlu ditegaskan di sini bahawa Seri Paduka Baginda amat prihatin terhadap keselamatan diri rakyat jelata, khususnya pada ketika ini rakyat di beberapa negeri masih mengharungi bencana banjir.

“Seri Paduka Baginda menzahirkan rasa kegusaran terhadap kesan bencana banjir dan kenaikan mendadak angka jangkitan
Covid-19 di negara ini. Sekiranya tidak dibendung dan dikawal dengan berkesan, maka ianya akan memudaratkan kesihatan rakyat dan kesejahteraan negara,” katanya.

Dato’ Indera Ahmad Fadil berkata, sehubungan itu, Al-Sultan Abdullah menasihati rakyat supaya bertenang, tabah dan cekal menghadapi pelaksanaan darurat dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) demi keselamatan dan kepentingan bersama.

“Seri Paduka Baginda turut menyeru rakyat jelata untuk bersama berdisiplin mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dan semua perintah yang telah ditetapkan kerajaan dan agensi-agensi yang berkaitan semasa pelaksanaan darurat dan PKP ini.

“Seri Paduka menzahirkan keyakinan bahawa dengan semangat jitu dan kerjasama rakyat jelata seperti yang dipamerkan semasa pelaksanaan PKP pada tahun lalu, kita mampu sekali lagi membendung penularan wabak dengan berkesan.

“Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan harapan agar vaksin yang bakal diterima kelak akan melandaikan keluk pandemik, sekali gus memutuskan transmisi Covid-19 di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, Al-Sultan Abdullah mengambil kesempatan untuk menzahirkan setinggi penghargaan kepada wira dan wirawati petugas barisan hadapan yang bersabung nyawa dan bertungkus lumus tanpa mengira penat lelah serta masa dalam memikul tanggungjawab memerangi wabak Covid-19.

Al-Sultan Abdullah turut mengajak rakyat untuk bersama Seri Paduka Baginda mendoakan semoga Malaysia sentiasa dilindungi dari segala bentuk ancaman dan wabak ini dapat dibendung dengan berkesan dan diakhiri dengan segera.

“Seri Paduka Baginda turut mengajak seluruh rakyat mendoakan bencana banjir yang melanda beberapa negeri pada ketika ini tidak berpanjangan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here