PENDUDUK yang terjejas akibat banjir di Pahang menurun kepada 20,715 mangsa daripada 5,676 keluarga yang kini ditempatkan di 205 pusat penempatan sementara (PPS) di sembilan daerah, setakat jam 8.15 pagi tadi.
Berbanding petang semalam, portal info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) merekodkan 21,240 mangsa banjir daripada 5,817 keluarga ditempatkan 211 PPS, lapor Harian Metro.
Temerloh mencatatkan jumlah paling ramai iaitu 10,929 mangsa daripada 2,962 keluarga, diikuti Maran (2,224 mangsa daripada 628 keluarga); Lipis (1,149 mangsa daripada 320 keluarga) dan Pekan (2,842 mangsa daripada 802 keluarga).
Raub pula merekodkan 660 mangsa daripada 193 keluarga; Jerantut (523 mangsa daripada 151 keluarga); Bera (1,614 mangsa daripada 450 keluarga), Kuantan (749 mangsa daripada 163 keluarga) dan Rompin (25 mangsa daripada tujuh keluarga).
Laporan infobanjir.water.gov.my memaklumkan tiga sungai masih melepasi paras bahaya iaitu Sungai Jelai, Jeram Bungor, Lipis; Sungai Pahang di Lubuk Paku, Maran dan Sungai Pahang di Serambi (Paloh Hinai), Pekan.
Sungai Pahang (Lubuk Pasu), Temerloh pula melepasi paras amaran, manakala Sungai Pahang di Pekan dan Sungai Lepar di Jambatan Gelugor, Kuantan berada paras berjaga-jaga.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan notis cuaca waspada dengan hujan lebat dijangka berterusan di Rompin, hari ini.
Angin kencang timur laut pula melebihi 60 kilometer sejam dengan ombak setinggi melebihi 4.5 meter dijangka berlaku di perairan negeri ini hingga esok.
Keadaan angin kencang dan laut bergelora berbahaya kepada semua aktiviti pantai termasuk menangkap ikan.
Sementara itu, mangsa banjir di Johor berkurangan kepada 3,598 orang daripada 996 keluarga setakat jam 8 pagi tadi.
Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan berkata, ia berkurangan berbanding 3,612 daripada 1,001 keluarga pada jam 8 tadi.
“Sebanyak 40 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) masih dibuka di tujuh daerah melibatkan Johor Bahru, Kota Tinggi, Kulai, Segamat, Mersing, Pontian dan Kluang.
“Daerah paling ramai menempatkan mangsa banjir di PPS setakat ini adalah di Kota Tinggi berjumlah 2,193 daripada 591 keluarga. Mereka ditempatkan di sekolah dan dewan di 23 PPS.
“Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah menyediakan bekalan makanan di semua PPS seluruh negeri,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, air pasang dijangka terus berlaku di Tanjung Sedeli, Kota Tinggi, Johor Bahru dan Kukup, Pontian hingga malam ini.
Tambahnya, air pasang berlaku di Tanjung Sedili pada jam 8 pagi dan 10.30 malam dengan ketinggian 193 dan 269 meter (M), Johor Bahru jam 4.22 pagi dan 10.14 pagi (149 dan 303M) dan Kukup jam 10.07 pagi dan 11.39 malam (357 dan 265M). – Malaysiapost

