KETUA kumpulan perubatan percaya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di enam negeri selama dua minggu tidak mencukupi bagi mengekang penularan Covid-19, terutama dengan jangkitan kini mencecah empat angka setiap hari.
Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial, Azrul Mohd Khalib berkata virus Covid-19 telah berada dalam masyarakat, dan akan terus menjangkiti keluarga serta isi rumah selama beberapa minggu akan datang.
Azrul berkata tahap kepatuhan yang tinggi terhadap pencegahan Covid-19 dan tempoh penutupan lebih lama diperlukan untuk menurunkan kes.
Katanya, aspek paling penting dalam memerangi pandemik itu adalah dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
Beliau juga meminta agar langkah-langkah untuk memberi bantuan kewangan bagi keluarga yang akan terjejas dengan kehilangan pendapatan.
“PKP kedua ini akan menyebabkan lebih banyak orang jatuh miskin,” katanya seperti dilaporkan FMT.
Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan PKP selama 14 hari bermula tengah malam ini di Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Johor, Sabah, Pulau Pinang dan Melaka).
Pengerusi Malaysian Medics International (MMI), Dr Vikkineshwaran Siva Subramaniam pula berpendapat sekatan menerusi PKP perlu dilanjutkan melebihi dua minggu, sehingga masyarakat diberi vaksin dengan cukup bagi mengembangkan antibodi untuk memastikan imuniti kelompok.
Beliau berkata denda yang lebih berat mesti dikenakan ke atas mereka yang tidak mematuhi peraturan.
Katanya, kes Covid-19 yang tinggi ketika ini adalah “harga yang perlu dibayar” atas kesilapan kerajaan membenarkan semula perjalanan domestik untuk mempromosikan pelancongan.
“Itu tidak sepatutnya berlaku,” katanya sambil mempersoalkan keputusan kerajan membenarkan sektor pembinaan kekal beroperasi sebagai perkhidmatan penting, memandangkan jumlah kluster banyak dilaporkan dari tapak pembinaan.
Bagaimanapun, Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr Subramaniam Muniandy berkata adalah selamat untuk tapak pembinaan dan kilang terus beroperasi selagi majikan mengambil inisiatif membuat saringan berkala ke atas pekerja mereka.
“Industri-industri ini mesti mengambil langkah berjaga-jaga. Majikan memainkan peranan sangat besar dalam memastikan keselamatan semua orang, kita mesti lebih berhati-hati,” katanya. – Malaysiapost
