Pemuda PAS kecam Ahli Parlimen kerajaan gugat keutuhan kerajaan PN

0
3

Nurul Huda Abhar

PEMUDA PAS meminta semua pemimpin politik agar melakukan gencatan serangan politik antara satu sama lain dan menumpukan usaha membantu rakyat yang terkesan akibat banjir dan wabak Covid-19.

Ketuanya, Senator Khairil Nizam Khirudin berkata, dalam situasi sekarang tidak sepatutnya berlaku sebarang tindakan yang cuba untuk mengganggu keutuhan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Saya mengecam keras langkah politik yang dilakukan oleh mana-mana Ahli Parlimen terutama Ahli Parlimen kerajaan yang boleh mencetuskan spekulasi terhadap keutuhan kerajaan PN pada hari ini, terutama kita sedang berhadapan dengan banjir besar dan wabak Covid-19 ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Khairil Nizam juga meminta rakyat agar turut sama berganding bahu bagi menghalang penularan virus Covid-19.

“Akhir kata, saya menyeru kepada semua rakyat Malaysia untuk sama-sama kita berganding bahu ke arah membendung penularan wabak Covid-19 dan berkerjasama ke arah Malaysia yang lebih baik,” ujarnya lagi.

Terdahulu, media melaporkan Ahli Parlimen Machang daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Ahmad Jazlan Yaakob, mengumumkan keputusannya menarik diri daripada menyokong kerajaan PN diketuai Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkuat kuasa serta merta.

Berikutan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan menerusi kenyataan memaklumkan bahawa PN masih sebuah kerajaan yang sah walaupun Ahmad Jazlan menarik sokongan kepada PN.

Beliau berkata, PN mempunyai sokongan dan majoriti cukup dari kalangan Ahli Parlimen berbanding pembangkang bagi membolehkan kerajaan terus berfungsi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here