MAJLIS Kerja Tertinggi (MKT) Umno akan membincangkan keputusan Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakob yang menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata sebarang perkara yang berbangkit mesti diputuskan di peringkat pucuk pimpinan tertinggi parti.
Katanya, beliau hanya membaca pendirian Ahmad Jazlan melalui media semalam dan tidak tahu sama ada perkara itu sudah dibincangkan di peringkat Umno negeri.
“Sebab itu, sebarang perkembangan yang berlaku di peringkat parti, kepemimpinan tertinggi akan berbincang,” katanya selepas penyerahan barang bantuan kepada mangsa banjir di Kota Bharu, hari ini.
Semalam, Ahmad Jazlan yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan mengumumkan menarik diri daripada menyokong kerajaan PN diketuai Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkuat kuasa serta-merta.
Beliau berkata surat makluman mengenainya akan dihantar kepada Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dengan segera. – Malaysiapost

