BANJIR di Perak hampir pulih apabila hanya tinggal satu Pusat Pemindahan Sementara (PPS) masih dibuka iaitu di Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan, di Hilir Perak.
Dewan itu menempatkan 59 mangsa daripada 15 keluarga setakat jam 1 tengah hari tadi.
Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Perak, berkata ia susulan penutupan PPS di Dewan Orang Ramai Kampung Perah, di Pengkalan Hulu pada jam 12 tengah hari tadi.
“Satu PPS yang masih dibuka menempatkan 26 dewasa dan 33 kanak-kanak dengan kampung terjejas adalah Kampung Batu 9, Kampung Simpang 3, dan Batu 10 Jalan Bidor,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Setakat jam 8 pagi tadi, 93 mangsa banjir daripada 24 keluarga direkodkan di Perak, iaitu jumlah sama direkodkan pada jam 6 petang semalam. – Malaysiapost

