Kerajaan PN masih sah, tak terjejas – Takiyuddin

0
2

KERAJAAN Perikatan Nasional (PN) masih sah dan mempunyai bilangan Ahli Parlimen mencukupi, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang)  Datuk Takiyuddin Hassan.

Beliau menegaskan walaupun Ahli Parlimen Machang dari Barisan Nasional (BN), Datuk Ahmad Jazlan Yaakob menarik diri daripada menyokong kerajaan PN, kedudukan kerajaan tidak terjejas.

“Saya dapat maklumat penarikan sokongan itu menerusi media semalam. Saya juga tidak faham matlamat atau niat beliau itu macam mana… apapun kerajaan yang ada sekarang ini sah dan mempunyai bilangan (Ahli Parlimen) yang cukup.

“Yang penting ialah kerajaan ini berfungsi dengan baik sejak bermula pada Mac hingga sekarang.

“Rakyat juga boleh melihat bagaimana kerajaan sedia ada ini berfungsi dengan baik. Jadi kami (kerajaan) akan terus berkhidmat melalui organisasi kerajaan di semua peringkat,” katanya seperti dilapor Bernama.

Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung PAS berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melawat Mahkamah Sesyen dan Majistret Setiu, Terengganu, hari ini.

Semalam Ahmad Jazlan mengumumkan keputusan menarik diri daripada menyokong kerajaan PN, selepas meletak jawatan Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) awal bulan ini.

Pada masa ini Dewan Rakyat mempunyai 220 Ahli Parlimen berikutan kematian dua Ahli Parlimen iaitu Datuk Hasbullah Osman (BN-Gerik) dan Datuk Liew Vui Keong (Warisan-Batu Sapi). – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here