
PUTRAJAYA, 4 Mei -- Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyampaikan ucapan ketika menyertai Sidang Kemuncak Secara Dalam Talian Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) Berhubung COVID-19 yang berlangsung menerusi persidangan video di Bangunan Perdana Putra hari ini. Persidangan dipengerusikan oleh Presiden Republik Azerbaijan, Ilham Aliyev merangkap Pengerusi NAM bagi penggal 2019-2022. --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA PUTRAJAYA, May 4 -- Prime Minister Tan Sri Muhyiddin Yassin deliver his speech during the Online Summit Level Meeting of the Non-Aligned Movement (NAM) Contact Group in Response to COVID-19 at Perdana Putra today. Meeting chaired by Azerbaijan President Ilham Aliyev, the NAM chairman for the 2019-2022 term. --fotoBERNAMA (2020) COPYRIGHT RESERVED
KERAJAAN Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ‘sudah tumbang’ kerana hilang majoriti sokongan daripada 222 Ahli Parlimen.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, Muhyiddin hanya memiliki 110 sokongan Ahli Parlimen selepas Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub tidak lagi menyokongnya.
“Berdasarkan Perkara 46 Perlembagaan Persekutuan, Ahli Dewan Rakyat ada 222 orang. Dua Ahli Parlimen telah meninggal dunia iaitu Ahli Parlimen Batu Sapi di Sabah dan Ahli Parlimen Gerik di Perak.
“Ini menjadikan jumlah ahli Dewan Rakyat bagi penggal Parlimen ke-14 tinggal 220 orang. Jumlah sokongan 110 sahaja dimiliki oleh Ahli Parlimen Pagoh itu sekarang, menjadikan Perdana Menteri dan kerajaan PN pimpinannya tidak ada majoriti,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.
Ahmad Jazlan dari Barisan Nasional (BN) mengumumkan menarik sokongan terhadap Muhyiddin sebagai Perdana Menteri berkuatkuasa pada Jumaat lalu.
Selain itu, Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz mendakwa lebih ramai Ahli Parlimen Umno dijangka mengikut jejak Ahmad Jazlan dan menarik sokongan terhadap kerajaan.
Hassan berkata, Yang di-Pertuan Agong sebelum ini melantik Muhyiddin pada 1 Mac 2020 sebagai Perdana Menteri berdasarkan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan iaitu pada hemat Seri Paduka Baginda, Ahli Parlimen Pagoh itu mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.
“Kini Ahli Parlimen Machang telah menarik balik sokongan terhadap Muhyiddin dan juga Kerajaan PN. Dalam keadaan ini, elok kita merujuk kepada Perlembagaan Persekutuan sekali lagi. Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan menyatakan seperti berikut:
“Jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatan Jemaah Menteri melainkan jika atas permintaannya Parlimen dibubarkan oleh Yang di-Pertuan Agong,” katanya.
Hassan berkata, sepanjang tempoh 10 bulan menjadi Perdana Menteri, Muhyiddin mengelak dan menafikan pembentangan usul tidak percaya terhadapnya di Parlimen, malah usul percaya terhadap beliau sebagai Perdana Menteri yang dibawa Ahli Parlimen kerajaan juga tidak diberi peluang dibentangkan.
“Peruntukan Perlembagaan Persekutuan ini adalah jelas. Maka saya selaku salah seorang ahli Dewan Rakyat menyeru Perdana Menteri mematuhi Perlembagaan Persekutuan iaitu segera mendapatkan perkenan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong seberapa segera.
“Ahli Parlimen Pagoh itu semasa mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri telah berikrar akan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan. Inilah masanya untuk membuktikan ikrar dan sumpah jawatan tersebut,” katanya. – Malaysiapost
