Jangan terpengaruh khabar angin di media sosial – Ismail Sabri

0
1

MASYARAKAT diingatkan tidak terpengaruh dengan khabar angin di media sosial kononnya polis telah melaksanakan sekatan jalan raya mulai malam tadi, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menteri Kanan (Keselamatan) itu turut menasihati orang ramai agar tidak bimbang dan panik, termasuk menyerbu pasar raya untuk membeli barang keperluan menjelang pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin esok.

“Jangan bimbang, esok akan ada pengumuman oleh Perdana Menteri dan kita akan tahu apa yang akan diberitahu.

“Jadi, jangan serbu (pasar raya), masyarakat perlu bertenang. Kita tahu, rakyat takut sebab Covid-19 semakin meningkat.

“Namun, kerajaan mengambil kira semua aspek dari segi kesihatan dan pada masa sama  keperluan ekonomi rakyat,” katanya selepas Majlis Penyerahan Barang Bantuan Kepada Mangsa Banjir di Kem Pengkalan Chepa di Kota Bharu hari ini.

Esok Perdana Menteri akan membuat pengumuman khas mengenai tindakan yang akan dilaksanakan kerajaan berhubung situasi semasa Covid-19 yang menunjukkan trend peningkatan kebelakangan ini.

Sementara itu, Ismail Sabri berpuas hati terhadap tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di pusat pemindahan sementara (PPS) bagi mangsa banjir di Pahang.

“Setakat ini saya sudah ke Pahang dan hari ini ke Kelantan sebelum ke Terengganu. Di Pahang, saya berpuas hati dengan pematuhan SOP di PPS.

“Semua penghuni memakai pelitup muka dan pihak PPS juga mengediakan alat saringan suhu dan mengimbas MySejahtera untuk pergerakan keluar masuk.

“Saya difahamkan, PPS di Kelantan dan Terengganu juga menyediakan kemudahan itu,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Ismail Sabri berkata kerajaan sukar untuk menampung keperluan pesakit di hospital sekiranya kes positif Covid-19 mencecah lebih 5,000 sehari.

Namun katanya, kerajaan berusaha sedaya upaya untuk mengelak kes meningkat sehingga ke tahap tersebut.

“Setakat ini, kita masih mampu menampung pesakit walaupun kes sudah mencecah 2,000 hingga 3,000 sehari. Namun, sekiranya lebih dari itu 5,000 hingga ke 8,000, memang agak sukar untuk kita menampung keperluan.

“Namun kita akan pastikan angka Covid-19 tidak akan sampai ke tahap itu. Kalau semua bantu kerajaan, kita mampu melandaikan graf jangkitan.

“Apa yang penting, kerjasama semua pihak untun terus patuh SOP adalah perkara paling penting bagi memerangi Covid-19,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here