Ambo tak perlu tunjuk biso untuk gugat kerajaan – Annuar Musa

0
2

BEKAS Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) yang digugurkan beberapa hari lalu, Tan Sri Annuar Musa berkata beliau tidak perlu tunjuk hebat kepada penduduk Parlimen Ketereh diwakilinya dengan cuba menggugat kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Beliau juga menegaskan tidak perlu berbuat demikian kerana taksub kepada sesiapa kerana baginya paling utama adalah membela nasib rakyat.

“Ambo (saya) tidak fikir kalau ambo jadi hero ke arah perpecahan, ia bawa kebaikan kepada sesiapa. Dalam kawasan kita, ada PAS, ada PPBM (Bersatu) dan berbilang bangsa. Lebih baik kita berbaik-baik dari tak habis-habis berbalah sesama kita.

“Mungkin cara ambo tak bisa (hebat), tak nampak berani untuk gomo (lawan) sesama kita, tidak hebat dengan meletak jawatan dan gugat pemerintahan.

“Tapi ambo tetap berpegang, orang Islam apabila diuji dengan kuasa dan amanah di tangan, berpegang teguhlah pada tali Allah dan jangan bercerai-berai.

“Kita juga diingatkan jangan ambil musuh nyata (harbi) untuk dijadikan teman yang dipercayai dengan meninggalkan teman sesama kita,” katanya menerusi Warkah Kepada Rakyat Parlimen Ketereh yang dimuat naik di Facebooknya hari ini.

Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata beliau juga merasakan apabila dipinjamkan kuasa, pemimpin perlu menggunakannua untuk membela rakyat dan pengundi.

“Justeru kita perlu bertindak bijaksana dan bukannya ikut suka hati kita… wallahuaklam.

“Maka kepada adik kakak orghe (orang) Parlimen Ketereh, terus bermuafakat bersatu padu. Kita saling bantu-membantu. Insya-Allah kita beroleh rahmat, keberkatan dan jiwa yang tenang,” katanya.

Terdahulu, Annuar berkata dalam Pilihan Raya Umum (PRU) lalu pengundi Ketereh memilihnya sebagainya wakil dengan undi melebihi 25,000 walaupun ahli Umno di Parlimen tersebut cuma 13,000.

Katanya, amanah yang diberi bukan kerana beliau orang hebat sangat, tetapi kerana mahu dibela dan mahu beliau memajukan kawasan, kampung serta sukakan perpaduan.

“PRU14, BN kalah, ambo jadi pembangkang. Adik kakak pun ingat bagaimana susahnya kita 22 bulan tanpa peruntukan membantu rakyat.

“Dengan takdir Allah swt serta berkat sabar adik kakak, kita menjadi kerajaan semula bila Umno dan BN, PAS, PPBM, parti Sarawak dan Sabah sepakat membentuk kerajaan PN berteraskan pimpinan perpaduan Melayu Islam menggantikan Pakatan Harapan (PH) pimpinan sosialis DAP dan PKR Liberal.

“Kawasan kita berubah. Berjuta peruntukan baiki prasarana desa. Pembinaan baru masjid disambung semula. Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Ulul Albab dilulus semula, lebuh raya Kota Bharu – Kuala Krai disambung semula, bantuan Covid-19 dah pusingan ketiga untuk 15,000 keluarga, murid sekolah dibantu semula, banyak lagi sedang kita usaha,” katanya.

Annuar berkata beliau merasakan di saat banjir melanda dan penularan Covid-19 semakin bahaya, perpaduan Melayu makin renggang semula.

“Kita sepatutnya tidak terlalu main politik tapi bekerja untuk rakyat jelata, tolong rakyat dan majukan Kelantan kita,” katanya.

Rabu lalu, Annuar secara terbuka menetapkan pendiriannya enggan bersubahat dengan Pengerusi BN yang juga Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi terhadap usaha yang bertentangan dengan prinsip dan pendirian politiknya.

Annuar mendakwa terdapat beberapa keputusan dan tindak-tanduk Ahmad Zahid yang disifatkannya dibuat mengikut agenda peribadi pucuk pimpinan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here