PARTI Putra Malaysia (Putra) mencadangkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya memperkenan mengisytihar darurat kerana kedudukan politik negara tidak stabil.
Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, politik negara kini semakin meruncing dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sudah ‘nyawa-nyawa ikan’.
Katanya, mengikut demokrasi berparlimen, ia sudah menjadi ‘kerajaan tergantung’ kerana Ahli Parlimen Machang telah mengisytihar secara terbuka menarik diri dari memberi sokongan kepada kerajaan PN .
“Ini bermakna jumlah pihak kerajaan PN kini tinggal 110 sahaja. Ini baru Ahli Parlimen Machang, dua atau tiga lagi akan tarik diri dari Umno sudah pasti kerajaan PN tersungkur,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, sudah menjadi pengetahuan umum bahawa Kerajaan PN sebenarnya sudah lama jatuh jika Speaker membenarkan usul tidak percaya dibentang dan dibahas di Dewan Rakyat.
Malah, katanya, sebelum pembentangan Belanjawaan 2021 pada November lalu, ia mendapat sokongan cukup makan 111 kerana ada Ahli Parlimen menyokong demi menghormati titah Yang di-Pertuan Agong.
“Susulan keputusan Umno Bahagian dan Majlis Kerja Tertinggi Umno membuat keputusan menolak kerjasama dengan Bersatu, bermakna kerajaan PN sudah hilang majoriti.
“Kewujudannya hanya atas dasar ‘teknikal” sahaja. Hanya tunggu proses fomaliti untuk jatuh secara rasmi dan muktamad,” ujarnya.
Maka, katanya, kestabilan politik negara sudah tergugat dan pelabur-pelabur pasti hilang keyakinan manakala ekonomi negara makin merudum dan tenat akibat ancaman Covid-19 serta ketidakstabilan politik.
“Negara sedang melalui krisis kepimpinan yang membingungkan. Ini semua akibat percaturan parti-parti politik dan pemimpin berhempas pulas untuk mempertahankan kuasa dan merebut kuasa.
“Terkini politik negara di persimpangan jalan. Antara demokrasi dan keselamatan rakyat.
“Jika ikut tradisi demokrasi berparlimen, bila mana kerajaan hilang kepercayaan, maka Dewan Rakyat mesti dibubarkan dan Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15) diadakan.
“PRU15 yang edahnya tamat Mei 2023 terpaksa diawalkan. Ada pihak mendesak diadakan sebab vaksin Covid-19 akan diterima oleh kerajaan Februari ini.
“Tapi banyak pihak juga tidak bersetuju dan membantah jika PRU15 diadakan Mac atau sebelum bulan Ramadan,” katanya.
Mengulas lanjut, Ibrahim berkata, ada pihak mendesak supaya Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri.
“Jika tidak letak jawatan sekarang pun, masa akan tiba Muhyiddin terpaksa meletakkan jawatan.
“Apa akan berlaku? YDPA boleh melantik PM baru yang ada sokongan majoriti atau membubarkan Dewan Rakyat untuk memberi laluan pada PRU15.
“Tapi PRU15 mustahil boleh diadakan dalam masa terdekat. Jika dilantik Perdana Menteri baru pun nescaya sokongan majoriti juga tidak jauh bezanya.
“Apakah kestabilan politik akan terjamin dan pelabur-pelabur akan memberi keyakinan? Juga belum tentu.
“Oleh kerana edah PRU-15 sehingga Mei 2023, masih ada masa sekitar dua tahun sahaja lagi, maka pilihan YDPA boleh mempertimbangkan perisytiharan darurat dengan melantik Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) untuk mentadbir negara dalam tempuh sekitar dua tahun, sebelum PRU15 diadakan.
“Tempoh dua tahun ini adalah tempoh bertenang dan semua pihak wajib berganding bahu memulihkan kestabilan politik dan ekonomi negara,” katanya.
Beliau berkata, kerangka politik negara juga boleh ditransformasi kepada sistem-sistem parti jika ia membantu kepada kesuburan amalan demokrasi negara.
‘Ini juga boleh diertikan sebagai satu reformasi politik negara.
“Secara ringkas, semasa darurat dua tahun, semua pihak diajak kembali ke ‘drawing board’ untuk merungkai segala masalah negara sebelum nasi menjadi bubur.
“Mereka yang berjiwa besar dan ada semangat patriotime negara, pasti menyokong cadangan ini,” katanya. – Malaysiapost

