Makin ramai peniaga kecil ‘bungkus’ jika PKP

0
2

Nilam Oshman

“KALAU PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dilaksanakan sekali lagi, ramai peniaga kecil terpaksa ‘tutup kedai’ dan mengalami kerugian yang amat dahsyat.”

Demikian luah Pengerusi Persatuan Peniaga Pasar Malam Bumiputera Shah Alam dan Klang, Kamarul Nizam Razak yang menyifatkan kesan terhadap golongan peniaga kecil amat besar jika PKP dilaksanakan semula seperti Mac lalu.

Katanya, ekonomi peniaga kecil khususnya penjaja pasar malam akan terkesan dengan teruk sekali lagi dan mengambil masa yang lama untuk kembali pulih.

“Kalau kali kedua dilaksanakan PKP, ramai peniaga kecil akan tutup kedai dan mengalami kerugian yang dahsyat,” katanya kepada Malaysiapost.

Berikutan itu, Kamarul Nizam menyarankan kepada kerajaan supaya melaksanakan PKP Diperketatkan (PKPD) di lokaliti tertentu yang tinggi kes positif Covid-19.

“Jika PKPD dilaksanakan, cuma satu kawasan dikuarantin justeru ia tidak memberi kesan sangat kepada orang lain.

“Namun jika PKP dilaksanakan, bukan sehari dua nak pulihkan ekonomi dan perniagaan kami… kesannya sangat mendalam.

“Sampai sekarang pun saya berniaga tiga kali seminggu, macam mana kita nak cari rezeki kalau sesetengah tempat tak boleh berniaga, jadi ia situasi yang sangat teruk untuk peniaga kecil,” katanya.

Sebelum ini, terdapat ura-ura kerajaan akan melaksanakan semula PKP, seperti yang diperkenalkan pada Mac lalu susulan peningkatan kes positif Covid-19, termasuk lebih 3,000 kes kelmarin.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah sebelum ini berkata statistik kes baharu Covid-19 kemungkinan meruncing dengan unjuran 8,000 kes sehari seawal minggu ketiga Mac ini, sekiranya nilai kebolehjangkitan (RO) melepasi kadar 1.2.

Esok Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan membuat pengumuman khas mengenai tindakan yang akan dilaksanakan kerajaan berhubung situasi semasa jangkitan Covid-19 yang menunjukkan trend peningkatan kebelakangan ini.

Sementara itu, peniaga kerepek di Puchong Permai, Norazadila Alias berkata, sekiranya PKP dilaksanakan, golongan peniaga kecil sepertinya akan terkesan teruk terutama mereka tiada pendapatan lain.

“Kami tidak mempunyai pendapatan lain, tiada gaji bulanan…  cuma bergantung kepada hasil meniaga sahaja, jadi macam mana nak teruskan hidup,” katanya.
Tambah Setiausaha Persatuan Prima Work Puchong (Puspek) itu, sekiranya PKPB diteruskan, ia lebih baik berbanding PKP.

“PKPB okay sebenarnya, cuma masalahnya sebahagian rakyat yang degil (ingkar PKPB), itulah yang menyebabkan peningkatan kes Covid-19.

“Oleh itu, kerajaan kena bertindak segera, sekat dan kawal tempat yang ramai orang bersesak seperti pusat beli-belah,” ujarnya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here