KETIKA kes positif Covid-19 terus meningkat di seluruh negara, masih ramai yang ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) termasuk berhibur di pusat hiburan tanpa hiraukan bahaya penularan wabak berkenaan.
Terbaharu seramai 120 pengunjung pusat hiburan berdekatan kawasan Waterfront di Kota Kinabalu ditahan dalam serbuan jam 10 malam tadi kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) PKPB.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji, berkata pusat hiburan itu beroperasi menggunakan lesen kafe dan operasi itu adalah yang ketiga sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), lapor Harian Metro.
Beliau berkata, premis itu memasang audio yang sangat kuat menjadikannya tidak ubah seperti pusat hiburan.
“Pemeriksaan lanjut mendapati premis berkenaan sebenarnya beroperasi dengan lesen tamat tempoh dan belum diperbaharui,” katanya.
Dalam serbuan itu 120 pengunjung ditahan kerana tiada penjarakan fizikal dan dikompaun atas kesalahan mengikut Peraturan 11(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (LLDKJ) (No 8) 2020.
Habibi berkata, memandangkan ia adalah kesalahan berulang, polis akan mencadangkan kepada pihak berkuasa tempatan untuk tidak meluluskan permit atau operasi premis berkenaan. – Malaysiapost

