TAN Sri Dr Noor Hisham Abdullah melahirkan kebimbangan terhadap trend peningkatan kes kematian Covid-19 sejak memasuki tahun 2021.
Beliau berkata, dalam sembilan bulan pertama tahun lalu jumlah kematian Covid-19 di Malaysia adalah kurang 100, namun hanya sambilan hari memasuki 2021 kes kematian telah mencecah 71.
“Saya bimbang keadaan yang lebih buruk akan berlaku,” kata Ketua Pengarah Kesihatan itu menerusi hantaran di Facebooknya malam tadi.
Dr Noor Hisham berkata bukan mudah untuk petugas menguruskan jenazah pesakit Covid-19.
“Mereka terpaksa memakai PPE lengkap dengan bermandi peluh dalam keadaan panas terik sehingga liang lahad dan selesai menguruskan pengebumian kes Covid-19.
“Semoga kita semua memahami cabaran dan dugaan yang dihadapi oleh setiap petugas barisan hadapan.
“Marilah bantu Negara dengan kita jaga kita, kita jaga keluarga kita. Semoga kita semua terlindung daripada musibah Covid-19,” katanya.
Kelmarin sahaja, sebanyak 16 kematian dicatatkan, iaitu jumlah kematian tertinggi pernah dilaporkan sejak penularan jangkitan tersebut dalam negara.
Sehingga semalam, Malaysia merekodkan 542 kes kematian, iaitu 0.41 peratus daripada jumlah keseluruhan kes. – Malaysiapost

