‘Jangan hentam sesama sendiri melalui media, tak elok’ – Mahdzir Khalid

0
3

PEMIMPIN Umno diminta tidak mengeluarkan kenyataan ‘menghentam’ antara satu sama lain secara terbuka di media, kata Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Belaiu berkata, adalah lebih wajar untuk pemimpin Umno menggunakan kaedah lain yang lebih elok dalam menyelesaikan isu berbangkit.

Katanya, perbuatan itu kini banyak berlaku dalam kalangan pemimpin tertinggi parti, menteri dari Umno dan bekas pimpinan tertinggi parti.

Bagaimanapun, beliau menganggap tindakan pemimpin berkaitan mengeluarkan kenyataan sedemikian terutama melalui media sebagai perbuatan yang tidak salah.

“Ada medan yang boleh keluarkan kenyataan, tetapi kalau dah seronok pakai media ini apa salahnya, gunakan sajalah.

“Tetapi memang tak sesuai untuk menjadikan media sebagai tempat untuk keluarkan apa juga kenyataan (berbentuk kencaman)…carilah medium lain,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

Sementara itu, ditanya mengenai tarikh Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), Mahdzir yang juga Ahli Parlimen Padang Terap berkata, mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MT) Umno baru-baru ini membuat ketetapan ia perlu diadakan mengikut kesesuaian memandangkan Covid-19 masih menular di negara ini.

“Saya ingat semua faham suasana sekarang masih ada Covid-19. Kalau Covid-19 masih tinggi, kita tak minta juga untuk diadakan PRU.

“Dalam masa sama, ada penduduk di sesetengah negeri sedang hadapi bencana banjir, jadi kita tunggu keadaan reda dulu,” katanya.

Semalam, media melaporkan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin menyatakan bahawa bukan hanya akar umbi Umno, sebaliknya seluruh rakyat negara ini menolak desakan PRU-15 diadakan dalam masa terdekat.

Menurut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi itu, tindakan segelintir pemimpin Umno yang mahukan PRU-15 diadakan sebelum berakhir suku pertama tahun ini adalah pendirian yang tidak bertanggungjawab.

Sebelum ini juga, Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi juga mendesak PRU-15 diadakan secepat mungkin bagi mengembalikan mandat kepada rakyat untuk memilih kerajaan baharu. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here