KEBIMBANGAN penularan wabak Covid-19 di kawasan luar bandar kini semakin menjadi kenyataan dengan beberapa kes dikesan termasuk membabitkan kawasan rumah panjang di Sarawak.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, melaporkan setakat ini lapan kawasan rumah panjang di Sibu, Sarawak dikesan berlaku penularan wabak berkenaan.
“Inilah kebimbangan terbesar kita di kawasan luar bandar dan kita perlu meningkatkan langkah-langkah kesihatan awam di setiap negeri, daerah dan dalam kalangan masyarakat.
“Nampaknya semua lapan rumah panjang di Pasai Siong, Sibu dan kawasan sekitarnya akan dikenakan Perintah Kawalan Pergeakan Diperketat (PKP) selama 14 hari,” katanya di Facebook hari ini.
Beliau mengulas mengenai laporan media berhubung penularan kes Covid-19 membabitkan rumah panjang tebabit.
Menurutnya, setakat ini wabak Covid-19 di Pasai Siong adalah sebanyak 37 kes dan kesemua penghuni lapan rumah terbabit dikenakan PKPD.
“Rumah panjang yang terjejas adalah Jelian Nayor, Ringgit Unchu, Langi Ambau, Pom Maja, Nyanggai Alok, Jeram Empin, Kelly Chundau dan Nyambong Ajon,” katanya. -Malaysiapost

