Lantik 10,000 petugas khas Covid-19 lebih jimat daripada PKP

0
1

KERAJAAN dicadang melantik 10,000 petugas khas secara kontrak bagi pengesanan kontak Covid-19 berbanding melaksanakan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara menyeluruh dalam usaha mengawal gelombang ketiga wabak itu yang semakin meningkat.

Bekas Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye, berkata PKP secara meluas walaupun berkesan, namun ia membawa impak negatif yang besar kerana mengakibatkan kerugian apabila aktiviti ekonomi negara merosot sehingga 50 peratus.

“Sebenarnya PKP (‘lockdown’) secara meluas boleh dielakkan dan penularan Covid-19 boleh dikawal dengan PKPD bersasar, disamping ujian Covid-19 secara massa (‘mass testing’) serta pengesanan, ujian dan pengasingan kontak rapat dalam 48 jam.

“Kerajaan harus menubuhkan satu rangkaian di seluruh negara sebagai petugas khas pengesanan kontak serta-merta di mana anggotanya terdiri daripada 10,000 anggota tambahan di Bahagian Kesihatan Awam, Kementrian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan kerjasama pemimpin masyarakat tempatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Lee yang juga Ahli Parlimen Gopeng berkata, petugas khas itu boleh dilatih dan dibimbing oleh Pegawai Kesihatan Awam untuk tugas pengesanan kontak, memastikan kontak mematuhi perintah kuarantin, memastikan perniagaan mematuhi prosedur operasi standard (SOP), membantu ‘mass testing’ dan sebagainya.

Menurutnya, petugas khas itu boleh dilantik dalam kalangan graduan menganggur dan mereka yang kehilangan pekerjaan ketika pandemik Covid-19.

“Implikasi kos untuk mengambil 10,000 anggota petugas khas ini jika dngan anggaran kos RM2,500 sebulan untuk setiap petugas, jumlah kos keseluruhan adalah RM300 juta setahun dan ia jauh lebih rendah berbanding kerugian dialami sekiranya PKP menyeluruh dilaksanakan semula.

“Saya merayu kepada Perdana Menteri supaya mengarahkan pengambilan petugas khas secara kontrak tersebut dengan kadar segera semasa pengumuman khas pada Isnin ini,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here