Shalin sasar kejuaraan Sirkit Profesional

0
1

KEPUTUSAN bergerak sebagai pemain profesional menjadi sasaran ratu tenpin boling negara, Shalin Zulkifli selepas ‘berpisah’ dengan pasukan kebangsaan.

Shalin yang menitiskan air mata ketika mengumumkan persaraannya, atlet berusia 42 tahun itu menjelaskan ketika ini dia perlu mempersiapkan diri untuk kejohanan Sirkit Profesional yang bermula April hingga Ogos setiap tahun.

Mengakui kejuaraan Sirkit Profesional menjadi sasaran yang masih belum dicapai, dia berharap dapat meraih gelaran itu pada tahun ini.

“Dalam senarai, saya sudah menang di Sukan SEA, Sukan Asia dan salah satu yang masih belum menang adalah Sirkit Profesional. Sebab itu saya nak cuba capai, harap tahun ini, sebab saya tak tahu berapa lama lagi saya boleh bersaing.

“Salah satu sebab kenapa saya fikir nak bersara kerana saya banyak kecederaan. Kalau tanya doktor saya, kebanyakan kejohanan yang saya pergi saya cedera.

“Tahun 2015 pun saya kena buat pembedahan di kaki, macam lima tahun terakhir memang banyak kecederaan.

“Jadi, saya nak kembalikan badan saya sihat sebelum saya pergi pada April nanti, itu pun bergantung kepada situasi semasa (COVID-19), harap semua sudah reda,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Selain itu, Shalin turut menyifatkan kejayaan memenangi pingat emas dan membantu kontinjen negara muncul juara keseluruhan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 sebagai kenangan paling manis dalam kariernya.

“Paling manis masa menang di Sukan SEA Kuala Lumpur (2017), kerana tekanan memang banyak kepada kami waktu itu untuk kontinjen menjadi juara keseluruhan terutama bagi sukan boling supaya menyumbang seberapa banyak pingat yang boleh.

“Kami bermain lama, lebih dari 10 jam sejak dari pagi. Saya memang penat sangat hari itu dan saya cakap mungkin saya tak ada peluang lagi untuk berada dalam situasi ini pada masa akan datang.

“Jadi saya kena paksa walaupun penat atau sakit dan saya dapat keputusan yang baik untuk kontinjen negara.

“Pengalaman paling pahit semasa tak dapat menang pingat emas Sukan Komanwel (1998) sebab masa itu pun saya menjadi salah seorang atlet yang diharapkan untuk menang emas,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here